“Nora, Lebai Sudin suruh sampaikan pesan. Semua persiapan dah siap. Eloklah dicepatkan pengkebumian Zainal ni. Ada siapa lagi saudara mara yang belum sampai, Nora?” Soalan Maimunah mengejutkan Zainora dari lamunannya. Entah berapa lama dia berkhayal mengenangkan arwah suaminya itu. Sambil mengelap air mata yang masih bersisa di pipi, dia menggeleng lemah.
Zainal sebatang kara di dunia ini. Ayah tiada, ibu pun tiada. Adik-beradik entah ke mana menghilang. Masing-masing sudah bawa haluan sendiri. Dia sendiri tidak tahu di mana ipar duainya berada. Kalau hendak ditunggu saudara mara sebelahnya pula, bagaikan menunggu kucing bertanduk. Mama dan papa langsung tidak mengambil tahu akan dirinya. Walaupun perihal kematian Zainal telah diberitahu kepada papa dan mamanya, namun itu hanya sekadar pemberitahuan. Tidak ada sedikit pun harapannya untuk melihat papa dan mamanya datang menziarahi jenazah suaminya yang telah pergi buat selama-lamanya itu.
Zainora mengesat lagi air matanya. Anaknya Faizah memandang sayu kepadanya. Zainora merangkul anak kecil itu ke dalam dakapannya.
“Mak, kenapa tutup ayah dengan kain?” Soal Faizah dengan suara yang perlahan. Zainora menguatkan dakapannya. Hatinya merintih hiba mendengar soalan yang diajukan oleh Faizah itu.
“Nanti ayah lemaslah, mak. Kesian ayah.” Faizah terus bersuara. Air mata Zainora semakin laju mengalir. Esakannya pun semakin kedengaran. Maimunah yang duduk di sebelahnya menepuk lembut bahunya.
“Faizah, mari sini dekat mak cik.” Tubuh kecil Faizah ditarik lembut dari Zainora. Zainora membiarkan sahaja. Sebelah tangannya menekup bibirnya agar suara tangisannya tidak kedengaran. Dia tidak mahu menangis. Dia tidak mahu nampak lemah di hadapan anak-anaknya namun dia benar-benar tidak kuat menerima ujian ini bersendirian.
“Faizah dah makan belum?” Soal Maimunah kepada anak kecil itu. Faizah menggeleng.
“Adik nak makan dengan ayah tapi ayah tak bangun lagi.” Luah Faizah dengan wajah muram. Zainora memandang sekilas ke arah anaknya itu. Semakin sedih hatinya mendengar jawapan anaknya yang tidak tahu apa-apa itu.
“Jom mak cik suapkan Faizah makan. Kak Ain masak sedap hari ni.” Maimunah segera bangun dari tempat dia duduk sambil mendukung Faizah. Selepas memberi syarat kepada Zainora, dia membawa Faizah pulang ke rumahnya yang terletak bersebelahan dengan rumah Zainora itu.
Sepanjang berada di rumahnya, Maimunah melayan Faizah bercerita. Sedih hatinya mendengarkan kata-kata Faizah tentang ayahnya. Anak itu belum mengerti apa yang terjadi. Pada Faizah, ayahnya terlalu mengantuk dan tidak mahu bangun dari tidur.
“Nanti ayah bangun, adik nak ajak ayah pergi pasar malam.” Faizah bersuara riang. Hati Maimunah dicengkam pilu. Mujurlah dia membawa Faizah pulang ke rumahnya. Jika dibiarkan Faizah bersama-sama Zainora, pasti semakin pilu hati Zainora mendengarkan kata-kata anak yang belum mengerti apa-apa itu.
-----------------------------------------------------------------------
Orang kampung sudah beransur pulang. Yang tinggal cuma mereka empat beranak dan keluarga Maimunah. Suasana sedih masih terus menyelebungi mereka semua.
“Nora, abang harap Nora bersabarlah banyak-banyak. Kematian tu satu janji dan janji tuhan itu pasti. Satu hari nanti, kita pun akan menyusul juga. Kita semua sayangkan Zainal tapi ALLAH lebih sayangkan dia. Banyak-banyakkan bersabar dan berdoa untuk arwah.” Rashid menasihati Zainora. Wanita itu hanya mampu mengangguk perlahan. Wajahnya benar-benar tidak ceria seperti selalu. Dirinya kelihatan benar-benar tidak terurus.
“Janganlah diikutkan sangat hati tu, Nora. Kalau ada apa-apa yang Nora perlukan beritahu aje dengan kak Munah.” Ujar Maimunah pula. Dia menepuk lembut bahu Zainora di sebelahnya.
“Nora, Kak Munah nak minta diri dulu. Dah jauh malam ni. Budak-budak tu pun dah letih. Eloklah ditidurkan dulu. Malam ni biar Ain tidur sini, temankan Nora.” Ujar Maimunah lagi.
“Tak apalah kak Munah. Insya ALLAH saya tak apa-apa. Kasihan si Ain tu, esok dia sekolah. Tak payahlah dia temankan saya, kak.” Zainora menolak dengan lembut. Dia tidak mahu menyusahkan keluarga Maimunah.
“Sekolahnya dekat saja, Nora. Esok pagi-pagi dia baliklah ke rumah tu. Bersiap-siap dan pergi sekolah.” Desak Maimunah. Kasihan dia mengenangkan nasib Zainora. Dia sekadar ingin membantu apa yang termampu olehnya. Setelah puas dipujuk, akhirnya Zainora bersetuju. Ada juga temannya berbicara malam ini.
Maimunah meninggalkan anak gadisnya yang baru berusia 15 tahun itu bersama-sama keluarga Zainora. Sebelum meninggalkan rumah Zainora, dia sempat berpesan kepada anaknya, Ain agar membantu Zainora apa yang patut. Anaknya itu patuh menerima arahan. Dia suka sekali kerana dapat bermalam bersama anak-anak Zainora. Sejak dahulu, dia memang rapat dengan keluarga Zainora itu. Anak-anak Zainora sudah dianggapnya seperti adik-adik kandungnya sendiri. Kini, kesedihan keluarga itu turut terasa di hatinya. Dia sanggup lakukan apa sahaja ketika itu asal sahaja beban perasaan yang ditanggung oleh Zainora dan anak-anaknya dapat dikurangkan.
No comments:
Post a Comment