Selamat datang ke Utusan Hati

Selamat datang ke Utusan Hati ... Apa yang hati anda sedang katakan?



Monday, January 26, 2009

Cerita suka-suka...sambung lagi (slps balik raya cina :)

Zainora leka membersihkan daun pisang yang baru dilayur di atas api. Daun pisang itu untuk dibuat membungkus nasi lemak dan kuih kuaci. Sejak kematian suaminya, Zainora membuat kuih muih untuk dijual di kedai kopi Pak Long yang terletak di simpang jalan. Dia akan menghantar kuih-kuihnya ke kedai ketika pergi menghantar anaknya, Faiz ke sekolah. Pulang dari menghantar Faiz, dia menunggu anak-anak Fauziah dan Norehan. Kedua-dua jirannya itu meminta dia menjaga anak-anak mereka ketika mereka keluar bekerja. Itulah rutinnya seharian. Kalau difikirkan penat, memang dia penat namun demi mencari rezeki untuk membesarkan anak-anaknya, dia rela. Dia bersyukur dengan rezekinya dan anak-anak yang tidak pernah putus. Sedar tak sedar sudah hampir setahun dia membesarkan anak-anaknya sendirian.
“Mak! Cepat mak!! Farid kena gigit tebuan.” Laungan Faiz mengejutkannya. Dia mencampak apa sahaja yang berada di ribaanya lalu bergegas menurut langkah anaknya.
Ya ALLAH. Janganlah kau ambil anakku, doa Zainora di dalam hati. Dia takut akan kehilangan lagi seperti mana dia kehilangan arwah suaminya.
Dari jauh dia sudah dapat melihat beberapa orang kanak-kanak sedang berkumpul. Hati Zainora berdetik bimbang. Langkahnya dipercepatkan.
“Farid! Farid tak apa-apa nak?” Soal Zainora kebuntuan. Dicempungnya tubuh anaknya lalu dia segera berlari ke arah jalan besar. Muka dan badan anaknya yang tidak berbaju itu sudah bengkak-bengkak. Wajah Farid hampir tidak dapat dicam lagi.
“Abang Rashid! Abang Rashid! Tolong bawakkan Farid ke hospital!” Zainora melaung sebaik sahaja terpandang kereta proton saga merah milik jirannya itu. Rashid segera memberhentikan kereta dan mengambil Farid dari dukungan Zainora.
“Faiz, balik tengok adik.” Arah Zainora sebelum kereta Rashid meluncur pergi.
Zainora teresak-esak sambil meraup wajah anaknya. Anaknya tidak bersuara namun air mata si anak menitis menandakan betapa dia sedang berada dalam kesakitan.
“Macam mana boleh kena tebuan tu, Nora?” Rashid menyoal, penuh belas.
“Entahlah. Saya pun tak tahu. Tiba-tiba saja Faiz beritahu saya adiknya kena gigit tebuan. Saya agak ni tebuan tanah ni, bang.” Jawab Zainora cemas. Tebuan tanah lebih berbisa jika dibandingkan dengan tebuan rumah. Rashid segera menekan pedal minyak, mempercepatkan pergerakan keretanya.
------------------------------------------------------------------------------------
“Kak Munah ni baik-baik sikit dengan si Nora tu. Dia tu janda kak. Janganlah dibiarkan rapat sangat dengan abang Rashid tu.” Salbiah bersuara sambil mencebikkan bibirnya. Maimunah yang sedang menyidai kain di ampaian menoleh ke arah jiran yang baru bertandang itu.
“Kau ni Biah. Tak ada kerja lain agaknya nak buat. Tak habis-habis dengan cerita-cerita pasal orang kampung ni.” Maimunah membidas.
“Saya cakap yang betul kak. Saya ni tak nak tengok kak Munah ni makan hati nanti. Sebelum terjadi apa-apa, kan lebih baik kita elak.” Salbiah terus mempertahankan diri. Maimunah hanya terdiam. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya sambil meneruskan kerjanya menyidai kain.
“Si Nora tu kak…sebatang kara. Mak ayah dia dah buang dia bila dia kahwin dengan arwah abang Zainal tu. Sebelah abang Zainal pun tak ada siapa lagi yang boleh tengok-tengokkan mereka anak beranak. Mahu tak mahu, dia mesti kahwin lain, kak. Ha…saya tengok abang Rashid tu baik betul dengan Nora anak beranak. Kak Munah tak takut ke kena bermadu dengan jiran sendiri.” Ujar Salbiah separuh berbisik.
“ALLAH, dah tua macam abang Rashid tu tak ada sapa yang hendak, Salbiah. Dulu masa muda-muda dulu bolehlah jugak kau nak takut-takutkan aku macam tu.” Jelas Maimunah sambil meninggalkan Salbiah sendirian. Salbiah yang sakit hati diperlakukan sebegitu terus berlalu dengan hati yang marah.
“Dah kena madu nanti, tahulah kau.” Omelnya.

“Ayah kau mana, Ain?” Maimunah menyoal anak bongsunya, Nurul Ain sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumahnya.
“Mak Som kata ayah dengan mak cik Nora ke hospital. Mak Som nampak ayah masa dia lalu kat padang tadi, mak.” Jawab Nurul Ain, sopan.
“Ke hospital…buat apa dia ke hospital?” Soal Maimunah pada dirinya sendiri.
“Ada mak Som kau beritahu kenapa ayah kau pergi hospital tu?” Soal Maimunah. Dia mula tidak sedap hati dengan berita yang disampaikan kepadanya itu.
"Entahlah mak. Mak Som kata macam ada kecemasan saja.” Jawab Nurul Ain.

No comments:

Post a Comment