Selamat datang ke Utusan Hati

Selamat datang ke Utusan Hati ... Apa yang hati anda sedang katakan?



Saturday, December 12, 2009

Persimpangan Dilema

Ditelan mati emak, diluah mati bapa…

Dalam kehidupan seharian, kita sering berada dalam situasi sebegini… dilema. Dalam sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besarnya… Ada kala menyakitkan kepala jika dipaksa untuk memikirkan keputusannya secara berterusan. Jangan hairan kalau ada yang gila kerana mencari sebuah keputusan.

Teringat lirik lagu kenny, remy dan martin… "walau kita dihadapkan dengan berbagai pilihan, mengapa sering terjadi pilihan tak menepati…"

Dalam membuat keputusan, ada kalanya kita dituntun oleh hambatan emosi sehinggakan adakalanya terjadinya penyesalan setelah keputusan diberi. Rasanya, dalam hidup aku terlalu banyak keputusan sebegini yang aku ambil. Adakala aku sendiri menyalahkan takdir kerana membuat keputusan yang bagi aku membawa penyesalan kepada aku pada masa itu. Selebihnya aku menyalahkan diri sendiri kerana tidak bijak membuat keputusan… sehinggakan yang dikejar tak dapat, yang di kendong berciciran.

Melalui perjalanan masa yang tidak pernah berhenti sedetik pun… keputusan yang pada masa dahulu kelihatan tidak kena pada diri dan tidak sepatutnya terjadi, akhirnya menjadi sebab aku bersyukur pada hari ini. Bila dikenang-kenangkan kembali, terasa diri ini kerdil kerana tidak mampu melihat masa depan. Terasa diri ini sangat bodoh kerana membazirkan air mata untuk sesuatu perkara yang aku kira akan membuatkan aku menyesal. Namun, sesiapa jua tidak tahu apa yang akan dihadapinya di hari muka. Hanya Yang Maha Kuasa sahaja yang tahu segala-galanya.

Jadi, bila berada di persimpangan dilema… fikirkan keputusan secara rasional. Mungkin kita tidak mampu memiliki apa yang kita ingini pada hari ini, namun kita mungkin memiliki apa yang kita ingini pada satu masa nanti. Mungkin apa yang ingin kita miliki hari ini jauh berbeza dari apa yang akan kita miliki pada satu hari nanti namun ianya jauh lebih berharga lagi. Air mata hari ini, bukan bermakna kita gagal. Air mata hari ini, cukuplah dijadikan peringatan untuk kita di masa hadapan agar di masa-masa mendatang kita akan lebih memahami perjalanan hidup ini.

Sambil langkah diatur, sama-samalah kita tunjangkan doa dan harapan padaNya… supaya kita tidak mudah lupa.

-Luka semalam, menjadi parut peringatan hari ini-