Suasana sedih menyelubungi seisi rumah. Suara lelaki dan perempuan yang membaca ayat-ayat suci al-quran kedengaran di sana sini. Sekali sekala kedengaran suara esakan dari bibir wanita berusia dalam lingkungan akhir tiga puluhan itu. Tiga orang kanak-kanak di sisinya turut berwajah muram. Sesekali anak yang paling tua, Faiz mengelap air mata yang bergenang di juring matanya. Adik-adiknya sekadar memandang dengan penuh tanda tanya. Mungkin mereka masih belum mengerti apa yang sedang berlaku.
Zainora mengusap kepala anak-anaknya. Entah bagaimana nasib anak-anaknya nanti. Pemergian suaminya menemui yang Maha Esa menjadikan mereka sekeluarga hilang tempat bergantung. Namun semuanya sudah takdir Ilahi.
Zainora menatap sekujur tubuh yang kaku terbaring di hadapannya. Tiba-tiba dia teringat pesanan arwah suaminya ketika mereka sama-sama bersarapan.
“Kalau abang dah tak ada nanti, entah macam manalah nasib Nora dengan anak-anak.” Suara keluhan suaminya, Zainal masih segar di fikirannya.
“Kenapa merepek pagi-pagi ni, bang. Tak baik.” Balasnya.
“Abang tak merepek. Abang cuma terfikir macam mana nasib anak-anak kita. Nasib Nora juga, macam mana nanti?” Soal Zainal, sayu. Zainora mengetap bibir. Dia jadi takut mendengar bicara suaminya. Ketika itu dia langsung tidak terfikir yang kata-kata itu sebenarnya adalah amanat untuk dipegangnya.
“Nora percaya abang ni panjang umur. Tiap-tiap hari Nora doakan abang biar hidup seratus tahun lagi.” Zainora bersuara lembut, cuba meredakan hati suami yang berperasaan gelisah itu. Suaminya hanya tersenyum kelat.
“Alangkah bagusnya kalau Nora ada orang lain selain abang.” Luah Zainal.
Berkerut dahinya mendengar bicara si suami.
“Maksud abang, kalaulah mama dan papa boleh terima Nora kembali sebagai anak, alangkah bagusnya. Mak dan ayah abang, dua-dua dah tak ada. Nanti kalau abang dah tak ada, siapa yang nak jaga Nora dan anak-anak.” Perlahan suara Zainal menuturkan kata. Zainora menatap wajah suaminya lama. Dia sedar lelaki itu terkilan kerana papa dan mamanya tidak dapat menerima suaminya sebagai menantu. Dia lebih terkilan apabila mereka juga tidak mahu menerima dia sebagai anak mereka lagi.
“Jangan kenangkan lagi, bang. Nora bahagia di sisi abang.” Zainora bersuara lembut sambil menggenggam tangan suaminya namun suaminya hanya tersenyum hambar.
Selepas bersarapan pagi itu, Zainal masuk ke bilik anak-anaknya lalu mencium dahi anak-anaknya, seorang demi seorang. Zainora yang memerhatikan perbuatan suaminya dari pintu kamar itu sedikit terkejut apabila melihat suaminya mengelap matanya yang basah. Dia hairan melihat kelakuan si suami namun segera dia mencari alasan bagi mententeramkan hatinya sendiri. Mungkin suaminya masih lagi terkilan kerana anak-anaknya tidak diterima oleh datuk dan nenek mereka.
Selepas suaminya keluar ke pejabat, Zainora mula mengemas rumah. Kain baju yang berlonggok di dalam raga dicapainya lalu dimasukkan satu persatu ke dalam mesin basuh. Sambil itu fikirannya ligat berputar mengenangkan perangai aneh suaminya. Sebentar tadi, selepas bersalam dan mengucup tangan suaminya, lelaki itu merangkulnya dan memeluknya erat. Selama ini suaminya sekadar memberikan ciuman di dahinya.
Ketukan yang bertalu-talu di pintu rumah mengejutkannya. Mungkin suaminya tertinggal sesuatu dan berpatah balik untuk mengambil barang yang tertinggal itu. Namun jangkaannya meleset sama sekali. Wajah Amran dan Halim, dua orang pemuda kampung itu terpancul di depan pintu.
“Kak, harap bersabar. Abang Zainal accident kat depan kedai sana. Dia dah dibawa ke hospital sekarang ni.” Suara Amran yang menyampaikan berita itu kedengaran gugup sekali. Zainora terasa ingin rebah. Mujurlah dia sempat berpaut pada tepi pintu.
Tanpa mengejutkan anak-anaknya, Zainora bergegas turun dari rumah. Kakinya pantas melangkah ke arah rumah jirannya.
“Kak, tolong tengokkan anak saya. Saya nak ke hospital. Abang Zainal accident.” Zainora bersuara sebak. Maimunah yang terkejut dengan berita itu terus mengarahkan anak perempuannya, Ain pergi ke rumah Zainora. Sementara itu mulutnya becok memanggil suaminya.
“Bang, kita ke hospital sekarang bang. Zainal accident.”
Mendengar ajakan isterinya, Rashid segera turun ke bawah rumah lalu menghidupkan enjin kereta. Zainora yang sudah menangis teresak-esak itu diarahkan masuk ke dalam kereta.
“Sabar Nora. Doakan dia tak apa-apa.” Berkali-kali Rashid berkata begitu. Isterinya turut mententeramkan Zainora yang semakin galak menangis.
Beberapa minit kemudian kereta Rashid dipandu masuk ke kawasan hospital. Dari jauh, Zainora terpandang wajah Halim yang lebih dahulu sampai ke hospital.
“Abang Zainal mana?” Soal Zainora.
“Kat dalam, kak. Ikut saya.” Arah Halim.
“Maaf puan. Kami dah cuba sedaya upaya kami tapi tuhan lebih sayangkan dia.” Kata-kata yang keluar dari bibir doktor itu menghancur-luluhkan perasaannya. Andai Maimunah tidak pantas memegang tubuhnya, dia sudah terjelepuk di lantai.
----to be continue----
No comments:
Post a Comment