Selamat datang ke Utusan Hati

Selamat datang ke Utusan Hati ... Apa yang hati anda sedang katakan?



Wednesday, January 20, 2010

Rumput masih hijau.....

Salam .... :)

Ramai yg minta saya ulas mengulas sikit pasal si rumput ni...

Untuk memenuhi permintaan anda yg bertanya, dgn ini diceritakan sedikit dari apa yg anda akan baca dalam Rumput Masih Hijau...

Secara keseluruhannya... cerita ni ttg Wafa,gadis yatim piatu yg merasa rendah diri setelah berlakunya peristiwa putus tunang. Pertunangannya diputuskan kerana status dirinya sebagai anak yatim. Keluarga bekas tunangnya risau, kalau-kalau dia bukan dari keturunan yang baik-baik, seterusnya menyebabkan seluruh keturunan mereka menjadi rosak.

Hatinya terus tertutup utk mana-mana lelaki pun sehinggalah dia dipertemukan dengan Naim, seorang lelaki yg kematian isteri. Naim seorang lelaki yang sukar hendak diramalkan sikapnya oleh Wafa. Ada ketikanya peramah, ada ketikanya diam seribu bahasa. Yang benarnya, lelaki itu masih dibayangi ingatan terhadap isterinya yang meninggal dunia dengan cara yang tragis. Walaupun berkali-kali diminta oleh ibunya untuk mencari isteri baru, namun dia masih tetap berkeras. Anaknya, Asyikin sudah menjadi amat rapat dengan Wafa. Asyikin amat manja dengan Wafa dan ibu Naim amat berkenan dengan gadis itu. Si ibu berusaha untuk menyatukan Naim dan Wafa. Namun, berjodohkah mereka? Mampukah Wafa memiliki cinta Naim yang sudah membuka hatinya utk cinta itu? Bolehkah Naim menerima Wafa dan melupakan kenangan bersama-sama arwah isterinya. Jeng...jeng....jeng.

Pjg lg kalau nak diulas ni. Dalam kisah ni juga anda akan lihat bagaimana kita tidak selamanya akan dibiarkan menderita. Akan sampai satu masanya matahari akan bersinar namun ujian demi ujian itu adalah satu perkara yang akan mematangkan kita. Pengorbanan yang dilakukan, pasti akan ada balasan yang menunggu di kemudian hari.

:)

-------------------------------------------------------------------------------------

NAIM MELEPASKAN KELUHAN sebaik sahaja tubuhnya direbahkan di atas sofa. Dia memejamkan matanya sambil jari-jarinya menjalar ke tengkuknya, melonggarkan ikatan tali leher. Kerana terlalu letih, dia terlelap di sofa itu.
“Papa...!” Suara Asyikin mengejutkannya. Dia pantas membuka mata dan tersenyum memandang anak perempuan kesayangannya itu. Asyikin mencium pipi papanya, melepaskan kerinduan kerana ditinggalkan seharian.
“Sayang anak papa,” Naim membalas ciuman anaknya itu lalu memeluk anaknya itu erat-erat.
“Papa... busyuk!” Asyikin mengerutkan hidungnya sambil menjauhkan dirinya daripada papanya. Jari comelnya memicit hidungnya sendiri. Pantas sahaja Naim menarik kemeja yang dipakainya lalu didekatkan ke hidungnya. Apa yang busuk? Wangi saja, siap bau Roma Itali lagi ni, fikirnya. Asyikin ketawa besar melihatkan perlakuan papanya.
“Adik tipulah,” jawabnya sambil terus ketawa. Naim pantas bangun lalu mengejar anak kecil itu yang berlari ketakutan ke arah dapur. Dia memang suka mengusik papanya. Sikapnya itulah yang menjadi penawar dalam hidup Naim setelah Jasmin meninggalkan mereka buat selama-lamanya.
Naim ketawa besar apabila Asyikin sudah berada dalam pelukannya. Tubuh anak kecil itu digomolnya sehinggakan Asyikin tidak henti-henti ketawa. Naim menggeletek pinggang anaknya itu sehinggakan Asyikin mengeluarkan kata maaf.
“Ampun papa... ampun papa. Adik tak tipu lagi.” Suara Asyikin bercampur dengan suara tawanya yang menggila. Naim melepaskan anaknya daripada pelukannya. Dia tersenyum puas kerana dapat bermesra dengan anak kesayangannya itu.
“Apa yang riuh rendah ni?” Hajah Naimah, ibu Naim menjenguk dari sebalik dinding. Dia tersenyum sambil menggelengkan kepalanya memandang dua beranak yang sedang berbaring di lantai itu.
“Syikin ni mak, dah pandai mengenakan Naim.” Naim mengadu. Hajah Naimah tergelak kecil. Ibu jari kanannya diangkat sambil digoyang-goyangkannya berkali-kali. Asyikin yang melihat aksi neneknya itu semakin kuat ketawa.
“Dah la tu, Naim. Nak maghrib ni dah. Pergilah mandi. Nanti boleh makan sama. Mak dah siap masak dah ni.” Hajah Naimah mengarahkan anak lelakinya itu. Naim menggeliat malas namun dia bingkas bangun apabila Asyikin menarik tangannya untuk bangun.
“Cepat papa. Adik dah lapar. Kalau papa lambat, adik dengan nenek makan dulu tau.” Tutur Asyikin petah.
“Yalah, adik dah tak sayang papa. Dah tak nak tunggu papa makan sekali lagi ya,” luah Naim. Wajahnya dikerutkan agar kelihatan muram. Asyikin menyeringai kegirangan, tahu papanya hanya ingin mengusiknya.
“Adik sayang papa.” Asyikin bersuara. Perkataan sayang disebutnya panjang-panjang sambil tangan papanya ditarik agar dekat dengannya. Apabila papanya sudah menundukkan kepalanya, Asyikin terus menghadiahkan ciuman di pipi papanya itu. Hajah Naimah hanya memandang sambil tersenyum bangga.
Cucu tunggalnya itu memang petah orangnya, menjadi kesayangan ramai. Walaupun percakapannya masih agak pelat, namun keletahnya memang menghiburkan mereka sekeluarga. Ketika mereka tidak tinggal sebumbung dahulu, Hajah Naimah sering merindui cucunya itu. Sehari tidak bertemu cucunya itu, hidupnya bagaikan tidak sempurna. Gadis kecil itu tidak pernah lekang dengan aksi dan usikannya yang mencuit hati. Sukar sekali melihat dia menangis atau bersedih. Kalau ada pun hanyalah untuk sebentar. Begitulah gembiranya menjadi anak kecil. Tiada perkara sedih yang perlu difikirkan. Semua orang hanya ingin melihat dia gembira dan ketawa.
Naim bergegas memanjat tangga, naik ke tingkat atas. Dia ingin membersihkan dirinya terlebih dahulu sebelum makan malam. Sementara itu Hajah Naimah menarik Asyikin untuk duduk di pangkuannya.
“Nek, adik nak tengok Bobob.” Pinta Asyikin dengan nada pelat hendak bermanjanya. Hajah Naimah tidak membantah. Segera permintaan cucunya itu dipenuhi. DVD kartun Spongebob kegemaran cucunya itu segera dipasang. Gadis itu menjerit keriangan. Seketika kemudian dia terdiam. Begitu khusyuk dia menonton. Hajah Naimah membelai rambut Asyikin yang duduk di pangkuannya itu dengan penuh rasa kasih. Dia kasihankan Asyikin yang sekian lama ketandusan kasih seorang ibu. Pemergian Jasmin benar-benar meragut kebahagiaan mereka sekeluarga. Ketika itu umur Asyikin belum lagi cukup setahun. Walaupun dia tahu, ajal maut di tangan Tuhan, namun sampai hari ini Hajah Naimah tidak dapat memaafkan manusia yang telah meragut nyawa menantunya itu. Mungkin sampai mati pun dia tidak mampu untuk memaafkan manusia itu.
“Nenek... kenapa nangis?” soal Asyikin apabila setitis air mata neneknya menitis di atas lengannya. Hajah Naimah cepat-cepat menyapu air mata yang telah mengalir di pipinya. Dia tersenyum kelat.
“Nenek tak nangislah, adik. Mata nenek ni masuk habuk,” luah Hajah Naimah. Asyikin mengerutkan keningnya.
“Oh... macam papa. Mata papa pun selalu masuk habuk juga, nek.” Asyikin bersuara petah. Hajah Naimah tidak menjawab, melainkan hanya mengangguk perlahan. Dia sudah maklum dengan apa yang dimaksudkan oleh cucunya itu. Pasti Naim sering menangis mengenangkan Jasmin. Kasihan Naim. Usia perkahwinannya masih terlalu muda apabila isteri kesayangannya dijemput Ilahi. Hajah Naimah pernah terfikir untuk mencarikan pengganti Jasmin namun setiap kali hasratnya itu disuarakan, Naim pasti membantah.
“Naim boleh jaga Syikin.” Itulah jawapan yang sering diberikan oleh anaknya. Akhirnya, hasrat untuk bermenantu lagi terpaksa dilupakan.
Alangkah baiknya jika Naim mengizinkan dia mencari gadis lain untuk dijadikan isteri. Mungkin Naim akan kembali gembira seperti dahulu, ketika Jasmin masih lagi hidup. Dan Asyikin, pasti sahaja lebih terbela nasibnya. Jasmin sudah lama pergi. Entah sampai bila Naim akan membiarkan memori bersama Jasmin itu menghalang kehidupannya untuk lebih bahagia.
“Mak yakin, Jasmin mahu kau berkahwin lain demi Asyikin. Ibu mana yang mahu melihat anaknya hidup seperti Asyikin, yang rindu untuk memanggil seorang ibu.” Hajah Naimah pernah memujuk Naim namun anaknya itu hanya membisu seribu bahasa. Putus ikhtiar Hajah Naimah apabila anaknya itu mengambil sikap begitu. Buntu fikirannya setiap kali Naim bersikap begitu. Risau juga dia andai dirinya dituduh tidak faham tentang perasaan anaknya itu. Bukan dia tidak faham, malah dia lebih daripada faham. Seharian dia hanya memikirkan nasib Asyikin apabila dia sudah tiada nanti. Tidakkah anaknya itu berfikir perkara yang sama? Atau Naim lebih mementingkan kenangannya bersama Jasmin sehingga membiarkan Asyikin terbiar tanpa kasih seorang ibu?
Hajah Naimah buntu lagi.
-------------------------------------------------------------------------------------
SELESAI SAHAJA kerjanya di makmal, Wafa membuat keputusan untuk terus ke rumah Hajah Naimah. Dia ingin menunaikan janjinya kepada Asyikin pagi tadi. Mujur juga jarak tempat dia bekerja dan rumah Hajah Naimah itu tidak jauh mana. Sekejap sahaja dia sudah sampai di hadapan rumah teres dua tingkat itu.
Sebaik sahaja dia memberhentikan kereta di halaman rumah Hajah Naimah itu, Asyikin meluru keluar mendapatkannya; melompat-lompat keriangan. Pintu pagar memang tidak berkunci. Oh, ada tetamu lain petang ini! ujar Wafa dalam hati.
“Aunty!” jerit Asyikin sambil memeluk dan mencium pipi Wafa. Wafa turut membalas pelukan dan ciuman Asyikin itu. Dia mendukung gadis kecil itu sambil mengunci pintu keretanya.
“Nenek mana?” Wafa bertanya.
“Nenek ada dengan opah dan wan,” jawab Asyikin.
“Nenek dengan opah dan wan? Kat dalam?” Wafa menyoal gadis kecil itu. Asyikin mengangguk laju.
“Wafa, mari masuk!” laung Hajah Naimah yang baru muncul dari sebalik pintu. Wafa tersenyum. Langkahnya diatur mendekati wanita itu; mereka segera bersalaman.
“Kak Som, Abang Hassan. Ini saya kenalkan, Wafa,” Hajah Naimah memperkenalkan Wafa kepada tetamu-tetamunya. Kedua-dua insan itu tersenyum ke arahnya.
“Ini besan makcik.” Hajah Naimah memberitahu. Wafa mengangguk sambil bersalaman dengan Makcik Som. Hajah Naimah mula bercerita kepada besannya bagaimana dia mengenali Wafa. Wafa hanya mendengar sambil melayan Asyikin yang sedang bermain-main dengan kerongsang tudungnya.
“Dah lama ke kamu kenal dengan Wafa ni, Mah?” soal Makcik Som kepada besannya itu.
“Baru dua minggu kak,” jawab Hajah Naimah. Makcik Som tersenyum sambil mengangguk. Dia menjeling sekilas ke arah suaminya yang hanya berdiam diri itu.
“Rapat benar adik dengan Wafa,” luah Makcik Som sambil terus tersenyum. Wafa turut tersenyum. Dia tidak tahu apa yang hendak dijawabnya. Dia memang suka akan Asyikin namun dia tidak sangka perhubungan mereka boleh sampai sejauh itu. Padahal perkenalannya dengan Asyikin dahulu terjadi secara kebetulan sahaja. Namun, kemesraan antara dia dan gadis kecil itu sudah seperti kemesraan anak dan ibu.
“Kalau Naim ambil budak ni jadi isteri, kan bagus Mah.” Makcik Som berbisik ke telinga Hajah Naimah. Hajah Naimah pula menggesa Makcik Som agar menyampaikan hasrat hatinya itu kepada Naim. Wafa dapat mendengar dengan jelas apa yang diperkatakan oleh kedua-dua orang wanita itu. Wajahnya merona merah secara tiba-tiba. Mana tidaknya, soal jodohnya diperkatakan di hadapannya. Lebih memalukan apabila orang yang baru dikenalinya sudah mula berkenan dengannya dan mahu dia menjadi isteri menantu mereka pula.
“Syikin, aunty tertinggal handphone dalam kereta. Kita keluar ambil kejap ya.” Wafa mengajak Asyikin keluar. Dia sudah tidak mampu menahan perasaan malu yang membenih di jiwanya.
Ketika Wafa keluar, Hajah Naimah dan Makcik Som semakin galak bercerita tentang Wafa. Walau baru pertama kali bertemu dengan Wafa, Makcik Som sudah berkenan benar dengan gadis itu. Dia sendiri yang mencadangkan agar Wafa menggantikan tempat arwah anaknya sebagai ibu kepada Asyikin.
“Kak Som berkenan dengan budak tu, Mah. Kamu dah pujuk Naim ke? Kak Som suka sangat kalau dia orang tu kahwin.” Luah Makcik Som. Hajah Naimah tersenyum.
“Saya pun suka juga budak tu, Kak Som. Bersopan-santun, penyayang. Saya tak pernah tengok Si Syikin tu manja dengan orang lain sampai macam tu sekali. Baru saja kenal, dia dah manja macam tu dengan Wafa tu.” Hajah Naimah bercerita. Mereka sama-sama tersenyum. Pak Hassan turut mengakui kata-kata dua orang wanita itu.
“Apa-apa pun kita kena tanya yang empunya diri dulu, Kak Som. Tambahan pula si Naim tu, bukan senang nak lembutkan hati dia. Dah lama saya cuba pujuk dia supaya beristeri lagi tapi hati dia tu keras betul. Saya pun bukannya dah lupa pada Jasmin... sampai mati pun Jasmin tetap menantu saya, kak. Cuma, saya kasihankan Syikin tu.” Luah Hajah Naimah panjang lebar. Makcik Som dan Pakcik Hassan sama-sama mengangguk.
“Yalah. Kami pun tahu perasaan Naim tu. Kami pun sama juga rasa kehilangan Jasmin tapi hidup kita ni kena juga diteruskan. Sampai masa nanti kita pula yang pergi. Selama hidup tu, kena juga kita ni cari kebahagiaan. Takkan nak bersedih tak sudah-sudah.” Makcik Som, bersuara perlahan. Suami yang duduk di sebelahnya mengangguk setuju.
-------------------------------------------------------------------------------------

Thursday, January 7, 2010

Rumput Masih Hijau

Salam...salam...salam...

Rumput masih hijau. Itu tajuk yang terpilih untuk cetusan hati dariku selepas ini. Cover dah siap dah...cantik JS pilih. Ada yang tanya kenapa tajuknya rumput tapi gambar bunga? Sebenarnya, bunga tu ada kisahnya di dalam Rumput Masih Hijau. Nak tahu apa kisahnya? Kenalah baca sendiri.

Kasihannya pada Kak Su sebab kena banyak 'memangkas' cerita tu supaya tidak terlalu panjang berjela. Kenapalah terlebih rajin pula jari ni mengetuk sampai jadi berjela-jela tu??? Huhuhu....naik syeikh gamaknya. Anyway, thanks to Kak Su & Kak Yah... dah bersusah payah mengaudit dan mengedit cerita tu. Terima kasih banyak-banyak.

Buat yang bertanya, bila ada buah tangan terbaru dari Iman Xara ni...insya Allah tak lama lagi ada la kut tu. Skrg masih dalam proses lagi. Berdebar-debar dan berderau-derau jugak ni menunggu.

Itu sajalah kut utk kali ni.. nak pergi sambung berdebar. :D