Selamat datang ke Utusan Hati

Selamat datang ke Utusan Hati ... Apa yang hati anda sedang katakan?



Friday, December 19, 2008

Cerita anak itik


Pada suatu hari, ada seekor ibu itik yang mempunyai sepuluh ekor anak. Kesemua anak-anaknya mempunyai bulu cantik berwarna kuning. Hanya seekor sahaja yang berwarna hitam. Disebabkan warna yang berlainan kesemua anak-anak itik yang lain tidak mahu berkawan dengan anak itik hitam itu. Apabila anak itik hitam itu cuba hendak bersuara, kata-katanya sentiasa disangkal oleh saudara-saudaranya yang lain. Hanya ibunya saja yang tidak membeza-bezakan anak-anaknya. Namun begitu, anak itik hitam itu terus terasa tersisih apabila berada bersama anak-anak itik yang lain. Dia selalu berkecil hati apabila saudara-saudaranya yang lain sering berbisik-bisik sesama mereka. Ketika anak-anak itik yang lain bermain dan berbual-bual sesama mereka, anak itik hitam itu hanya mampu mengepak-ngepakkan sayapnya yang kecil itu tanpa tujuan.

Di dalam kumpulan anak-anak itik berbulu kuning itu, ada seekor yang tidak pernah bersuara. Oleh kerana warnanya kuning, dia dilarang berkawan dengan anak itik hitam itu. Apabila anak-anak itik yang lain berbincang, anak itik itu hanya duduk di celah-celah saudara-saudaranya tanpa berbuat apa-apa.

Pada suatu hari, ketika semua anak-anak itik yang lain sedang tidur kerana kepenatan selepas bermain di kolam, anak itik hitam termenung sendirian. Dia berfikir tentang nasib dirinya.

"Apa salah aku?" Soalnya sendirian. Tiada jawapan.

"Kalau begini hidup aku, cepat-cepatlah aku besar dan aku boleh pergi dari sini." Bisiknya lagi.

Sedang dia mengelamun, tiba-tiba ada satu suara menegurnya. Anak itik hitam itu sangat terkejut apabila mengetahui siapa yang menegurnya. Itulah saudaranya yang bisu.

"Bukankah kau bisu?" Soal anak itik hitam itu. Anak itik kuning itu menggeleng.

"Aku tidak bisu, cuma aku tak mahu bercakap sesuatu yang sia-sia." Kata anak itik kuning itu.

"Aku tahu mereka menyisihkan kamu kerana kamu hodoh. Aku selalu mendengar mereka merendah-rendahkan dirimu kerana kamu berbeza dari kami. Hanya satu sahaja yang mereka tidak tahu, kamu juga ada sayap." Anak itik kuning itu bersuara panjang lebar. Anak itik hitam itu melopong, kebingungan.

"Mereka lupa satu hari nanti, kau akan terbang lebih tinggi dan pergi lebih jauh dari mereka kerana kamu mempunyai azam untuk terbang jauh." Kata anak itik kuning itu lagi.

"Bagaimana pula dengan mereka? Tidakkah mereka mempunyai azam untuk terbang tinggi dan jauh?" Soal anak itik hitam itu.

"Mereka berazam tetapi mereka lebih banyak bercakap dari belatih untuk terbang. Aku lihat kamu sering berlatih sendirian apabila saudara-saudara kita yang lain bermain." Kata anak itik kuning itu. Anak itik hitam itu terdiam.

"Sedar atau tidak, sayapmu akan menjadi lebih kuat dari sayap-sayap kami. Nanti, kamu akan terbang lebih jauh dari kami." Sambung anak itik kuning itu.

Selepas mendengar kata-kata anak itik kuning itu, hati anak itik hitam itu menjadi gembira. Dia tidak lagi merasa rendah diri dan berkecil hati dengan perbuatan anak-anak itik yang lain. Apabila ada di antara mereka yang mencemuhnya, anak itik hitam itu hanya tersenyum dan terus mengepakkan sayapnya.

Setelah beberapa bulan, anak itik hitam itu sudah mula terbang sedangkan saudara-saudaranya yang lain masih lagi berjalan di atas tanah. Mereka melopong melihat anak itik hitam yang dibenci itu sedang terbang mengelilingi mereka. Apabila anak itik hitam itu kembali menjejakkan kakinya ke bumi, kesemua anak-anak itik yang lain terus mengelilinginya.

"Bukankah sudah aku katakan kepadamu, satu hari nanti kamu pasti akan mendahului kami." Suara anak itik kuning itu mengejutkan saudara-saudaranya yang lain. Mereka berpandangan sesama sendiri kerana terkejut.

"Saudara-saudaraku, aku ini tidak bisu tetapi aku tidak suka bercakap dengan kamu semua kerana setiap kali kamu bercakap, kamu hanya merendah-rendahkan saudara kita ini. Hari ini, kamu lihatlah betapa dia telah mendahului kita. Dia yang berada di atas dan kitalah yang masih di bawah." Kata anak itik kuning itu. Saudara-saudaranya yang lain tunduk sahaja.

Anak itik hitam itu mengucapkan terima kasih kepada anak itik kuning yang budiman itu. Seterusnya dia bersuara kepada saudara-saudaranya yang lain. "Jangang pandang orang tak de mata yer."

3 comments:

  1. cerita kanak-kanak ni... tp ada juga pelajaran yang dapat kita semua ambil iktibar.

    ReplyDelete
  2. touching. sy kena simpan cerita ni utk anak sulung sy...x per ke sy paste ke blog sy? - nasibah

    ReplyDelete
  3. sila... sila.... sila...panjangkan ilmu dan peringatan... selagi kita mampu, nas. :D

    ReplyDelete