Selamat datang ke Utusan Hati

Selamat datang ke Utusan Hati ... Apa yang hati anda sedang katakan?



Wednesday, January 28, 2009

Cerita suka-suka.... habis sudah

“Risau betullah saya ni dengan Kak Munah ni. Baik macam malaikat. Kak Munah biarkan saja si Nora tu baik dengan abang Rashid tu. Nanti laki dah kena sambar dengan janda tu, kak Munah jugak yang melopong.” Salbiah bersuara bersungguh-sungguh. Sambil bercakap, tangannya menari-nari di depan muka Maimunah. Maimunah sekadar terdiam.
“Semalam saya jumpa abang Rashid dengan Munir di pasar. Banyak betul lauk yang dia beli. Bila saya tanya dengan dia, dia cakap nak bagi pada orang baru. Jangan-jangan diberinya pada Nora tu.” Salbiah petah bercerita. Maimunah terpana seketika mendengar cerita Salbiah. Tiba-tiba mindanya memutar kisah semalam apabila suaminya menyuruh dia membahagi-bahagikan makanan mentah yang dibeli.
“Kau jangan nak buat cerita, Biah. Aku kenal benar dengan Nora tu. Dah bertahun dah kami berjiran. Orang baik ni jangan dituduh yang bukan-bukan.” Maimunah memberi amaran. Sebenarnya dia sendiri sudah tidak sedap hati mendengar cerita yang dibawa oleh Salbiah itu. Kata-katanya itu semata-mata untuk menyedapkan hatinya sendiri. Dalam diam dia berharap agar prasangka yang mula bermain di kepalanya sejak akhir-akhir ini tidak benar-benar berlaku kepada dirinya.
“Kak Munah, orang ni jangan dilihat baik diluar saja. Dalam hati tu tak ada siapa yang tahu. Kak Munah faham sendirilah keadaan dia tu, janda. Anak kecil-kecil lagi. Tak kan dia tak terfikir nak cari pengganti arwah Zainal tu. Larat ke dia nak besarkan anak-anak dia tu sendiri.” Ujar Salbiah lagi. Sesekali matanya dikerlingkan ke arah rumah Zainora yang terletak beberapa meter sahaja dari tempat mereka berada.
“Entahlah kak Munah. Kak Munah fikir sendirilah, laki kak Munah. Saya berpesan saja sebelum terjadi apa-apa. Kalau laki saya yang buat hal dengan janda tu, dah lama dah saya kerjakan.” Sambungnya lagi. Maimunah mengeluh perlahan. Sedikit sebanyak kata-kata Salbiah itu lekat juga di hatinya. Orang lelaki memang tidak boleh diharap sangat. Semakin tua, semakin menjadi. Jangan-jangan suaminya pun jenis lelaki yang seperti itu. Maimunah menelan liur.

----------------------------------------------------------------------------------
“Bersiaplah Munah. Ikut saya ke rumah Nora tu.” Suara Rashid tegas. Maimunah yang sibuk melipat kain segera merenung suaminya dengan penuh kehairanan. Suaminya sudah siap berkemeja lengan panjang. Songkok hitamnya pun sudah sedia di kepala.
“Munir!” Rashid melaung memanggil adiknya pula. Ketika Munir muncul di ruang tamu itu, Maimunah masih lagi tidak bergerak.
“Awak tunggu apa lagi, Munah? Saya kata bersiap, bersiaplah.” Suara Rashid meninggi.
“Kita nak ke rumah Nora tu buat apa, bang? Yang abang ni siap bersongkok ni, kenapa pula?” Maimunah menyoal penuh debaran.
Rashid saling berpandangan dengan adiknya, Munir.
“Abang nak merisik Nora tu. Semakin lama dia menjanda, semakin kerap dicerca orang. Saya kasihankan Nora anak beranak. Sudahlah tak ada saudara mara yang kisah dengan mereka, orang kampung ni pulak tahu nak mengata saja. Mentang-mentanglah dia tu janda, asyik dikata mengoda laki orang.” Terang Rashid panjang lebar.
“Habis…abang kasihankan dia, abang nak buat dia jadi bini nombor dua abang?” Suara Maimunah agak bergetar. Rashid memandang isterinya dengan mata membutang.
“Apa yang awak merepek ni? Nak jaga awak sorang pun, saya tak kuasa. Ini nak tambah lagi satu.” Sergah Rashid dengan suara yang sedikit keras.
“Kak, abang nak risikkan untuk saya.” Munir memecahkan kebuntuan yang bersarang dalam hati kakak iparnya itu.
“Kau nak kahwin dengan Nora tu? Dia kan janda.” Maimunah mencari kepastian. Adik iparnya itu masih muda. Umurnya baru mencecah awal tiga puluhan.
“Saya tak kisah kak. Saya ikhlas nak kahwin dengan dia. Saya nak bela nasib dia dan anak-anaknya atas nama agama. Bagi saya umur bukan penghalang. Yang penting keikhlasan dan kejujuran dalam perhubungan.” Munir menerangkan panjang lebar. Maimunah senyum syukur. Dalam masa yang sama dia mengutuk diri sendiri kerana hampir termakan dengan fitnah yang disebarkan oleh Salbiah. Benarlah kata orang, lidah itu lebih tajam dari pedang. Bila lidah berdusta dan membuat cerita, maruah dipijak ke akhir hayat.
Maimunah menguntum senyum. Dia tersipu-sipu memandang suaminya. Aduh, rajuk-rajuk sayang di usia selewat ini. Malunya pada Munir!!!

3 comments:

  1. apa kata k ija smbung lagi cerita nora dgn munir tu...dilema org laki muda kawin janda pulak. pastu penerimaan anak2...pastu...:)..hehehe. ayat2 cerpen k ija ni, santai...boleh relax minda.

    ReplyDelete
  2. nas, insya ALLAH... kalau ada masa yg terluang nanti. thanks for the idea... may be leh panjangkan ke novel ke... hehehe

    ReplyDelete
  3. ya! buat novel..sy sokong 100% dan pasti akan beli

    ReplyDelete