Selamat datang ke Utusan Hati

Selamat datang ke Utusan Hati ... Apa yang hati anda sedang katakan?



Friday, December 26, 2008

Kembali...


Satu hari,
Aku bermain di gigi air
Terpaku sejenak melihat dia
Ibu tua yang sedang resah
Menyeka air mata dengan hujung bajunya
Hatinya luluh, semangatnya luruh

Kusapa si ibu tua, ingin kuredakan gelisahnya
Senyumnya terukir, hambar dan kaku
Ah, kasihannya si ibu tua
Siapa yang membuat hatimu resah?

Di mana rumah ibu, aku bertanya
Di sini sahaja rumahku, jawabnya
Dahiku berkerut menahan rasa
Rumahku di sini sahaja, selagi anakku masih di sana
Pandangnya jauh ke dasar lautan
Pandangan kosong penuh bermakna

Kenapa anakmu ada di sana, aku bertanya
Ibu tua mula teresak
Ah, kalut
Tercuitkah hatinya kerna tanyaku?

Anakku pergi mencari mutiara
Jauh di sana, tunjuknya
Di sana gelap, di sana bahaya
Bermula dengan takut,
Bermula dengan resah
Bermula dengan rasa terpaksa
Dodoiku hilangkan takutnya
Semangatku hilangkan lemahnya

Kerna dodoiku, kerna semangatku
Dia tegar berlama di sana
Lupa pada aku yang sedang menanti
Lupa pada pesan yang telah kuberi

Ibu, apa pesanmu boleh ku tahu
Si ibu tua menyapu matanya
Bersusah-payah mencari kata
Akhirnya ibu tua bersuara lagi
Pesannya pada anak tercinta
kembali ke darat bila lautan mula berubah
Air pasang dan surut tidak menentu
Bahaya menanti di sana sini
Usah diperbuat sesuka hati
Jangan sesat di tengah lautan
Terkapai-kapai tiada pegangan
Pulanglah biarku tunjukkan jalan

Ibu, ke mana anakmu kini
Mengapa belum dia pulang lagi?
Tahukah dia laut sedang bergelora?
Tiadakah takut dirinya nanti kuburnya di sana?
Yakinkah dia pada mutiara yang dicari?
Benarkah itu mutiara asli?
Ibu tua teresak lagi
Kali ini burung yang terbang pun mahu berhenti
Esaknya meruntun seisi duniawi

Nak, pulanglah kamu ke sisi
Di sana tiada mutiara yang akan kau temui
Sedang kau bermati-matian kerananya
Salahku atau sememangnya lautan itu menzalimimu?

Ibu, kuatkan hati
Janganlah kamu begini
Anakmu akan pulang
Jangan kau khuatir, izinkan kupimpinmu pulang

Si ibu tua rebah di pasir
Tak guna kupujuk, jawapannya tetap tidak
Dia masih mahu terus di sini
Menanti dan terus menanti
Bila anaknya akan kembali

No comments:

Post a Comment