Selamat datang ke Utusan Hati

Selamat datang ke Utusan Hati ... Apa yang hati anda sedang katakan?



Wednesday, December 17, 2008

Ada masa, kita makan dari pinggan emas,
Nasi beriyani, lauknya ayam
Rasanya enak, selera terbuka…
Kita makan kerana makanan sudah tersedia
Dan perut sudah merasa lapar…

Ada ketika, kita terpaksa makan dari pinggan kaca,
Nasi putih, lauknya sambal bilis

Baunya menambat rasa, tak sabar untuk menjamahnya
Kita makan kerana makanan itu sahaja yang ada
Dan perut sudah merasa lapar…

Ada ketika kita bermimpi yang indah-indah
Ada pelangi dan ada bunga berwarna ceria
Kitalah puteri raja, disanjung dan dipuja…

Ada ketika mimpi kita bersuara ngeri
Ada gergasi, darah dan tangis
Kitalah putera raya yang tewas di hujung pedang

Tidak selalu kita bahagia
Tidak selalu kita ceria
Ada ketika kita merasa sukar
Ada masanya kita merasa gentar

Siapa yang mahu menukar mimpi?
Mimpi yang ngeri menjadi bahagia
Yang bersegi mahu dibulatkan
Agar menjadi mudah untuk digerakkan
Mengikut mahunya kita…
Tapi kita tak mampu memandu mimpi
Melakonkan watak mengikut inginnya kita
Menjadikan bibir tersenyum sepanjang malam

Kalau mimpi tak mampu dijinakkan
Apa lagi realiti yang kita lalui
Pasang surut kehidupan sesuatu yang pasti
Kita merasa susah dan kita merasa payah
Lalu menangis mengenangkan nasib

Rupanya kita lupa, atau mungkin kita tak tahu
Ada yang lebih merana dari kita
Air mata menjadi peneman di kala malamnya
Biarpun wajahnya ceria di setiap paginya

Lalu, jamahlah dari pinggan yang mampu kita jamahi
Minumlah dari gelas yang mampu kita penuhi
Bermimpilah selagi kita mampu bermimpi
Dan berdirilah dalam realiti
Dengan rasa rendah diri dan selalu bersyukur

Bersyukurlah dan buktikan kesyukuran itu
Syukur yang hanya pada Dia, dan bukan kerana siapa-siapa……

No comments:

Post a Comment