Selamat datang ke Utusan Hati

Selamat datang ke Utusan Hati ... Apa yang hati anda sedang katakan?



Friday, February 20, 2009

Menunggumu


Datanglah seribu beban
Aku hanya memikul amanahmu
Datanglah sejuta kelam
Aku inginkan hanya cahayamu

Hadirlah beribu sendu
Aku hanya ingin pujukanmu
Hadirlah berjuta amarah
Aku hanya inginkan salju kasihmu

Tatkala resah itu terus bertali
Aku mengerti... kau kasihku
Tatkala ujian itu terus meniti
Aku mengerti... kau cintaku

Aku tak perlu kau selalu di sisi
Menemani setiap detik rasaku
Cukup aku mendengar suara kasihmu
Lewat angin lalu yang menyapa
Dengan takzim dan cinta

Bukan aku menghindar untuk selalu bersama
Kerna kutahu kau pembawa lantera
Menyuluh segenap jiwa
bersama semesta arjuna cintaNya
dan aku tak pernah derita
hanya kerana tak memilikimu seluruhnya

Di sana bahagia menanti
Di sana sudah terpatri seluruh janji
Janji yang benar tanpa dusta
Aku mohon untuk menunggumu di sana...

Tuesday, February 17, 2009

Perancangan utk hari-hari mendatang

Hari dah ditetapkan... persiapan mental, blm cukup lagi. Fizikal, lepas hari tu baru tahu la mampu ke tidak.. tapi harap-harap semuanya berjalan dgn lancar dan moga panjanglah hendaknya umurku untuk beberapa waktu lagi.

Mulai esok hingga minggu depan, aku perlu siapkan kerja-kerja di pejabat sebelum pejabat itu aku tinggalkan untuk beberapa waktu yang akan datang. Jenuhlah nak siapkan semua kerja dlm masa yg singkat. Lepas itu... kalau panjang umur aku, aku akan bercuti paaanjaaang sampailah keadaan mengizinkan aku kembali bergerak seperti biasa... harap-harap tak lama sebab perjuangan belum selesai...perjuangan apa? Nabil kata, "lu fikirlah sendiri"... aku kata..."tak boleh beritahu, itu rahsia negara". ;)

Buat teman-teman, doakan aku sihat dan selamat. Buat semua yang mengunjungi blog ini, harap dapat juga mendoakan aku... Yang baik dari ALLAH, yang buruk itu atas kelemahan aku sendiri...

Pesanan buat semua... Jaga kesihatan (jangan jadi macam aku), jaga diri (perlu selalu), jaga agama (ini yang utama).

Monday, February 9, 2009

Terima kasih teman...


Gerimis itu...
Menitis dan memercik
pintu hatiku tertutup sayu
menahan seribu getaran
menghalang gerimis duka itu singgah

Aku takut...
Semangat itu kian pudar
Harapan itu kian tersejat
Ditiup cerca dan nista
Rela...
Aku terima tanpa kata
Sepatah pun tidak aku luahkan
Aku cuma memasung rasa

Tapi dia...
Berdiri di depanku bagai wira
membuang titisan air mata
menahan agar aku tidak goyah
meniupkan kembali semangat
yang satu ketika dulu pernah membara

Usai sudah derita itu...
Kerna dia ada
Hilang sudah gundah itu...
Kerna dia hadir
Dan semangat itu kembali kugenggam
Kerna dia membinaku...

Untuk itu,
terima kasih teman...
Sukar aku berdiri tanpamu

Friday, February 6, 2009

Peringatan utk seorang aku...

Hidup mmg sukar diramal.

Aku pernah ketawa macam nak gila.. senyum sampai telinga...huha huha macam orang tak siuman... dan lagi dan lagi...

Sampai masa aku pun pernah menangis macam neng yatimah dalam filem dulu-dulu, merintih kerana tidak tahan menanggung bebanan sendirian, meraung bila aku memang tak mampu bertahan dek derita yang menyapa... dan terus lagi dan lagi dan lagi...

Sekian lama aku hirup udara pemberian tuhan ni. Ada kalanya aku rasa aku sudah cukup bersyukur, tapi kadang-kadang aku lupa... aku juga pernah mengingkari nikmat pemberianNya...dan sampai masa, aku menyesal kerana kelemahan diri...dan dangkal fikiran yang menguliti diri di saat aku disimbah bahagia. Sesungguhnya, kekurangan dan kelebihan yang diberikan...adalah ujian untuk aku hadapi. Merempat di kaki lima mahupun ditimpa emas di puncak istana...adalah satu cara Dia menguji ketabahan diri. Dan aku selalunya...lupa dan lupa lagi.

"Dan sesungguhnya telah Kami perintahkan kepada Adam dahulu, maka ia lupa (akan perintah itu), dan tidak Kami dapati padanya kemauan yang kuat." (Thaahaa : 115)

Bersungguhkah aku dalam mensyukuri nikmatNya yang tidak terhingga? Kuatkah kemahuanku untuk selalu tunduk dan patuh pada setiap arahanNya? Dan bila kini disapa derita tanpa diduga, bagai air terpercik ke muka... aku sedar kerdilnya diri.

Wednesday, January 28, 2009

Cerita suka-suka.... habis sudah

“Risau betullah saya ni dengan Kak Munah ni. Baik macam malaikat. Kak Munah biarkan saja si Nora tu baik dengan abang Rashid tu. Nanti laki dah kena sambar dengan janda tu, kak Munah jugak yang melopong.” Salbiah bersuara bersungguh-sungguh. Sambil bercakap, tangannya menari-nari di depan muka Maimunah. Maimunah sekadar terdiam.
“Semalam saya jumpa abang Rashid dengan Munir di pasar. Banyak betul lauk yang dia beli. Bila saya tanya dengan dia, dia cakap nak bagi pada orang baru. Jangan-jangan diberinya pada Nora tu.” Salbiah petah bercerita. Maimunah terpana seketika mendengar cerita Salbiah. Tiba-tiba mindanya memutar kisah semalam apabila suaminya menyuruh dia membahagi-bahagikan makanan mentah yang dibeli.
“Kau jangan nak buat cerita, Biah. Aku kenal benar dengan Nora tu. Dah bertahun dah kami berjiran. Orang baik ni jangan dituduh yang bukan-bukan.” Maimunah memberi amaran. Sebenarnya dia sendiri sudah tidak sedap hati mendengar cerita yang dibawa oleh Salbiah itu. Kata-katanya itu semata-mata untuk menyedapkan hatinya sendiri. Dalam diam dia berharap agar prasangka yang mula bermain di kepalanya sejak akhir-akhir ini tidak benar-benar berlaku kepada dirinya.
“Kak Munah, orang ni jangan dilihat baik diluar saja. Dalam hati tu tak ada siapa yang tahu. Kak Munah faham sendirilah keadaan dia tu, janda. Anak kecil-kecil lagi. Tak kan dia tak terfikir nak cari pengganti arwah Zainal tu. Larat ke dia nak besarkan anak-anak dia tu sendiri.” Ujar Salbiah lagi. Sesekali matanya dikerlingkan ke arah rumah Zainora yang terletak beberapa meter sahaja dari tempat mereka berada.
“Entahlah kak Munah. Kak Munah fikir sendirilah, laki kak Munah. Saya berpesan saja sebelum terjadi apa-apa. Kalau laki saya yang buat hal dengan janda tu, dah lama dah saya kerjakan.” Sambungnya lagi. Maimunah mengeluh perlahan. Sedikit sebanyak kata-kata Salbiah itu lekat juga di hatinya. Orang lelaki memang tidak boleh diharap sangat. Semakin tua, semakin menjadi. Jangan-jangan suaminya pun jenis lelaki yang seperti itu. Maimunah menelan liur.

----------------------------------------------------------------------------------
“Bersiaplah Munah. Ikut saya ke rumah Nora tu.” Suara Rashid tegas. Maimunah yang sibuk melipat kain segera merenung suaminya dengan penuh kehairanan. Suaminya sudah siap berkemeja lengan panjang. Songkok hitamnya pun sudah sedia di kepala.
“Munir!” Rashid melaung memanggil adiknya pula. Ketika Munir muncul di ruang tamu itu, Maimunah masih lagi tidak bergerak.
“Awak tunggu apa lagi, Munah? Saya kata bersiap, bersiaplah.” Suara Rashid meninggi.
“Kita nak ke rumah Nora tu buat apa, bang? Yang abang ni siap bersongkok ni, kenapa pula?” Maimunah menyoal penuh debaran.
Rashid saling berpandangan dengan adiknya, Munir.
“Abang nak merisik Nora tu. Semakin lama dia menjanda, semakin kerap dicerca orang. Saya kasihankan Nora anak beranak. Sudahlah tak ada saudara mara yang kisah dengan mereka, orang kampung ni pulak tahu nak mengata saja. Mentang-mentanglah dia tu janda, asyik dikata mengoda laki orang.” Terang Rashid panjang lebar.
“Habis…abang kasihankan dia, abang nak buat dia jadi bini nombor dua abang?” Suara Maimunah agak bergetar. Rashid memandang isterinya dengan mata membutang.
“Apa yang awak merepek ni? Nak jaga awak sorang pun, saya tak kuasa. Ini nak tambah lagi satu.” Sergah Rashid dengan suara yang sedikit keras.
“Kak, abang nak risikkan untuk saya.” Munir memecahkan kebuntuan yang bersarang dalam hati kakak iparnya itu.
“Kau nak kahwin dengan Nora tu? Dia kan janda.” Maimunah mencari kepastian. Adik iparnya itu masih muda. Umurnya baru mencecah awal tiga puluhan.
“Saya tak kisah kak. Saya ikhlas nak kahwin dengan dia. Saya nak bela nasib dia dan anak-anaknya atas nama agama. Bagi saya umur bukan penghalang. Yang penting keikhlasan dan kejujuran dalam perhubungan.” Munir menerangkan panjang lebar. Maimunah senyum syukur. Dalam masa yang sama dia mengutuk diri sendiri kerana hampir termakan dengan fitnah yang disebarkan oleh Salbiah. Benarlah kata orang, lidah itu lebih tajam dari pedang. Bila lidah berdusta dan membuat cerita, maruah dipijak ke akhir hayat.
Maimunah menguntum senyum. Dia tersipu-sipu memandang suaminya. Aduh, rajuk-rajuk sayang di usia selewat ini. Malunya pada Munir!!!

Tuesday, January 27, 2009

Cerita suka-suka... kita sambung lagi halim :D

“Baru balik, bang?” Sapa Maimunah sebaik sahaja wajah suaminya terpacul di depan mata. Rashid hanya mengangguk lemah. Hampir dua jam dia di hospital menemankan Zainora dan Farid. Mujurlah tidak ada apa-apa yang berlaku kepada anak kecil itu. Doktor mengarahkan Farid tinggal di hospital untuk rawatan susulan.
“Buat apa abang ke hospital dengan si Nora tadi tu? Sapa yang sakit?” Soal Maimunah ingin tahu.
“Si Farid kena gigit tebuan. Dia kena bermalam di wad malam ni.” Jawab Rashid perlahan.
“Malam ni saya nak hantarkan baju Farid tu. Minta tolong Ain kemaskan baju budak tu. Malam ni, suruh Ain temankan Faiz dan Faizah.” Rashid memberi arahan.
Maimunah segera menyampaikan pesan kepada anaknya yang terus bergegas menjalankan perintah ayahnya.
“Saya ikut sekali, bang.” Pinta Maimunah.
“Tak payahlah awak ikut. Saya nak hantar baju saja. Lepas tu, nak jemput Munir kat rumah Abang Ngah.” Jawab Rashid. Maimunah sekadar terdiam. Kata-kata suaminya memang tidak boleh dibantah namun entah mengapa hatinya sedikit berdebar mengenangkan Zainora. Ditambah lagi dengan kata-kata Salbiah yang masih terngiang-ngiang di telinganya.

-----------------------------------------------------------------------------------
“Banyaknya lauk abang beli hari ni. Kalau ya pun nak menjamu Munir tu, tak kan sampai banyak macam ni?” Maimunah kehairanan melihat ikan, daging dan ayam yang dibeli oleh suaminya.
“Bagi separuh pada Nora.” Ujar Rashid pendek. Maimunah merenung suaminya tanpa suara. Kenapa suaminya begitu mengambil berat soal Zainora. Sehinggakan makan seharian pun hendak disediakan. Zainora bukannya saudara, cuma jiran sebelah rumah. Jangan-jangan suaminya ada niat lain. Zainora didatangi prasangka yang pelbagai namun dia tidak berani bersuara. Dibahagi-bahagikan barang-barang yang telah dibelikan oleh suaminya itu. Tiba-tiba dirasakan perbuatannya itu seolah-olah menggambarkan kasih-sayang suaminya yang mungkin akan dikongsi dengan orang lain. Mungkin akan dibahagi-bahagikan seperti itu.

Monday, January 26, 2009

Cerita suka-suka...sambung lagi (slps balik raya cina :)

Zainora leka membersihkan daun pisang yang baru dilayur di atas api. Daun pisang itu untuk dibuat membungkus nasi lemak dan kuih kuaci. Sejak kematian suaminya, Zainora membuat kuih muih untuk dijual di kedai kopi Pak Long yang terletak di simpang jalan. Dia akan menghantar kuih-kuihnya ke kedai ketika pergi menghantar anaknya, Faiz ke sekolah. Pulang dari menghantar Faiz, dia menunggu anak-anak Fauziah dan Norehan. Kedua-dua jirannya itu meminta dia menjaga anak-anak mereka ketika mereka keluar bekerja. Itulah rutinnya seharian. Kalau difikirkan penat, memang dia penat namun demi mencari rezeki untuk membesarkan anak-anaknya, dia rela. Dia bersyukur dengan rezekinya dan anak-anak yang tidak pernah putus. Sedar tak sedar sudah hampir setahun dia membesarkan anak-anaknya sendirian.
“Mak! Cepat mak!! Farid kena gigit tebuan.” Laungan Faiz mengejutkannya. Dia mencampak apa sahaja yang berada di ribaanya lalu bergegas menurut langkah anaknya.
Ya ALLAH. Janganlah kau ambil anakku, doa Zainora di dalam hati. Dia takut akan kehilangan lagi seperti mana dia kehilangan arwah suaminya.
Dari jauh dia sudah dapat melihat beberapa orang kanak-kanak sedang berkumpul. Hati Zainora berdetik bimbang. Langkahnya dipercepatkan.
“Farid! Farid tak apa-apa nak?” Soal Zainora kebuntuan. Dicempungnya tubuh anaknya lalu dia segera berlari ke arah jalan besar. Muka dan badan anaknya yang tidak berbaju itu sudah bengkak-bengkak. Wajah Farid hampir tidak dapat dicam lagi.
“Abang Rashid! Abang Rashid! Tolong bawakkan Farid ke hospital!” Zainora melaung sebaik sahaja terpandang kereta proton saga merah milik jirannya itu. Rashid segera memberhentikan kereta dan mengambil Farid dari dukungan Zainora.
“Faiz, balik tengok adik.” Arah Zainora sebelum kereta Rashid meluncur pergi.
Zainora teresak-esak sambil meraup wajah anaknya. Anaknya tidak bersuara namun air mata si anak menitis menandakan betapa dia sedang berada dalam kesakitan.
“Macam mana boleh kena tebuan tu, Nora?” Rashid menyoal, penuh belas.
“Entahlah. Saya pun tak tahu. Tiba-tiba saja Faiz beritahu saya adiknya kena gigit tebuan. Saya agak ni tebuan tanah ni, bang.” Jawab Zainora cemas. Tebuan tanah lebih berbisa jika dibandingkan dengan tebuan rumah. Rashid segera menekan pedal minyak, mempercepatkan pergerakan keretanya.
------------------------------------------------------------------------------------
“Kak Munah ni baik-baik sikit dengan si Nora tu. Dia tu janda kak. Janganlah dibiarkan rapat sangat dengan abang Rashid tu.” Salbiah bersuara sambil mencebikkan bibirnya. Maimunah yang sedang menyidai kain di ampaian menoleh ke arah jiran yang baru bertandang itu.
“Kau ni Biah. Tak ada kerja lain agaknya nak buat. Tak habis-habis dengan cerita-cerita pasal orang kampung ni.” Maimunah membidas.
“Saya cakap yang betul kak. Saya ni tak nak tengok kak Munah ni makan hati nanti. Sebelum terjadi apa-apa, kan lebih baik kita elak.” Salbiah terus mempertahankan diri. Maimunah hanya terdiam. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya sambil meneruskan kerjanya menyidai kain.
“Si Nora tu kak…sebatang kara. Mak ayah dia dah buang dia bila dia kahwin dengan arwah abang Zainal tu. Sebelah abang Zainal pun tak ada siapa lagi yang boleh tengok-tengokkan mereka anak beranak. Mahu tak mahu, dia mesti kahwin lain, kak. Ha…saya tengok abang Rashid tu baik betul dengan Nora anak beranak. Kak Munah tak takut ke kena bermadu dengan jiran sendiri.” Ujar Salbiah separuh berbisik.
“ALLAH, dah tua macam abang Rashid tu tak ada sapa yang hendak, Salbiah. Dulu masa muda-muda dulu bolehlah jugak kau nak takut-takutkan aku macam tu.” Jelas Maimunah sambil meninggalkan Salbiah sendirian. Salbiah yang sakit hati diperlakukan sebegitu terus berlalu dengan hati yang marah.
“Dah kena madu nanti, tahulah kau.” Omelnya.

“Ayah kau mana, Ain?” Maimunah menyoal anak bongsunya, Nurul Ain sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumahnya.
“Mak Som kata ayah dengan mak cik Nora ke hospital. Mak Som nampak ayah masa dia lalu kat padang tadi, mak.” Jawab Nurul Ain, sopan.
“Ke hospital…buat apa dia ke hospital?” Soal Maimunah pada dirinya sendiri.
“Ada mak Som kau beritahu kenapa ayah kau pergi hospital tu?” Soal Maimunah. Dia mula tidak sedap hati dengan berita yang disampaikan kepadanya itu.
"Entahlah mak. Mak Som kata macam ada kecemasan saja.” Jawab Nurul Ain.