Selamat datang ke Utusan Hati

Selamat datang ke Utusan Hati ... Apa yang hati anda sedang katakan?



Monday, December 29, 2008

Selamat Menyambut Tahun Baru 1430H

Selamat menyambut Tahun Baru 1430H

Andai dahulu, kita menjadi titik hitam yang mencemarkan
Biar kita gilap titik itu menjadi sesuatu yang bersinar...

Andai dahulu, kita menjadi bahtera yang kehilangan arah
Biar kita betulkan arah kita agar sampai ke destinasi yang didamba...

Andai dahulu, kitalah manusia yang sekadar tahu berbicara
Biar kita laksanakan apa yang telah kita lafazkan keranaNya...

Andai dahulu, kitalah insan yang meranapkan keindahan agama
Biar kita hukum diri kita dengan sujud dan patuh kepadaNya...
Hingga kita mampu menjadi khalifah yang menegakkan agamaNya...
Hingga ke akhir nyawa kita...

Dan bersyukurlah...
Kerana masih dikurniakan kesempatan
Untuk kita menghirup segarnya embun...
Di pagi 1 Muharram 1430H.

Friday, December 26, 2008

Luka Semalam...


Ditelan mati emak, diluah mati bapa

Dalam kehidupan seharian, kita sering berada dalam situasi sebegini… dilema. Dalam sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besarnya… Ada kala menyakitkan kepala jika dipaksa untuk memikirkan keputusannya secara berterusan. Jangan hairan kalau ada yang gila kerana mencari sebuah keputusan.

Teringat lirik lagu kenny, remy dan martin… "walau kita dihadapkan dengan berbagai pilihan, mengapa sering terjadi pilihan tak menepati…"

Dalam membuat keputusan, ada kalanya kita dituntun oleh hambatan emosi sehinggakan adakalanya terjadinya penyesalan setelah keputusan diberi. Rasanya, dalam hidup aku terlalu banyak keputusan sebegini yang aku ambil. Adakala aku sendiri menyalahkan takdir kerana membuat keputusan yang bagi aku membawa penyesalan kepada aku pada masa itu. Selebihnya aku menyalahkan diri sendiri kerana tidak bijak membuat keputusan… sehinggakan yang dikejar tak dapat, yang di kendong berciciran.

Melalui perjalanan masa yang tidak pernah berhenti sedetik pun… keputusan yang pada masa dahulu kelihatan tidak kena pada diri dan tidak sepatutnya terjadi, akhirnya menjadi sebab aku bersyukur pada hari ini. Bila dikenang-kenangkan kembali, terasa diri ini kerdil kerana tidak mampu melihat masa depan. Terasa diri ini sangat bodoh kerana membazirkan air mata untuk sesuatu perkara yang aku kira akan membuatkan aku menyesal. Namun, sesiapa jua tidak tahu apa yang akan dihadapinya di hari muka. Hanya Yang Maha Kuasa sahaja yang tahu segala-galanya.

Jadi, bila berada di persimpangan dilema… fikirkan keputusan secara rasional. Mungkin kita tidak mampu memiliki apa yang kita ingini pada hari ini, namun kita mungkin memiliki apa yang kita ingini pada satu masa nanti. Mungkin apa yang ingin kita miliki hari ini jauh berbeza dari apa yang akan kita miliki pada satu hari nanti namun ianya jauh lebih berharga lagi. Air mata hari ini, bukan bermakna kita gagal. Air mata hari ini, cukuplah dijadikan peringatan untuk kita di masa hadapan agar di masa-masa mendatang kita akan lebih memahami perjalanan hidup ini.

Sambil langkah diatur, sama-samalah kita tunjangkan doa dan harapan padaNya… supaya kita tidak mudah lupa.

-Luka semalam, menjadi parut peringatan hari ini-

Kembali...


Satu hari,
Aku bermain di gigi air
Terpaku sejenak melihat dia
Ibu tua yang sedang resah
Menyeka air mata dengan hujung bajunya
Hatinya luluh, semangatnya luruh

Kusapa si ibu tua, ingin kuredakan gelisahnya
Senyumnya terukir, hambar dan kaku
Ah, kasihannya si ibu tua
Siapa yang membuat hatimu resah?

Di mana rumah ibu, aku bertanya
Di sini sahaja rumahku, jawabnya
Dahiku berkerut menahan rasa
Rumahku di sini sahaja, selagi anakku masih di sana
Pandangnya jauh ke dasar lautan
Pandangan kosong penuh bermakna

Kenapa anakmu ada di sana, aku bertanya
Ibu tua mula teresak
Ah, kalut
Tercuitkah hatinya kerna tanyaku?

Anakku pergi mencari mutiara
Jauh di sana, tunjuknya
Di sana gelap, di sana bahaya
Bermula dengan takut,
Bermula dengan resah
Bermula dengan rasa terpaksa
Dodoiku hilangkan takutnya
Semangatku hilangkan lemahnya

Kerna dodoiku, kerna semangatku
Dia tegar berlama di sana
Lupa pada aku yang sedang menanti
Lupa pada pesan yang telah kuberi

Ibu, apa pesanmu boleh ku tahu
Si ibu tua menyapu matanya
Bersusah-payah mencari kata
Akhirnya ibu tua bersuara lagi
Pesannya pada anak tercinta
kembali ke darat bila lautan mula berubah
Air pasang dan surut tidak menentu
Bahaya menanti di sana sini
Usah diperbuat sesuka hati
Jangan sesat di tengah lautan
Terkapai-kapai tiada pegangan
Pulanglah biarku tunjukkan jalan

Ibu, ke mana anakmu kini
Mengapa belum dia pulang lagi?
Tahukah dia laut sedang bergelora?
Tiadakah takut dirinya nanti kuburnya di sana?
Yakinkah dia pada mutiara yang dicari?
Benarkah itu mutiara asli?
Ibu tua teresak lagi
Kali ini burung yang terbang pun mahu berhenti
Esaknya meruntun seisi duniawi

Nak, pulanglah kamu ke sisi
Di sana tiada mutiara yang akan kau temui
Sedang kau bermati-matian kerananya
Salahku atau sememangnya lautan itu menzalimimu?

Ibu, kuatkan hati
Janganlah kamu begini
Anakmu akan pulang
Jangan kau khuatir, izinkan kupimpinmu pulang

Si ibu tua rebah di pasir
Tak guna kupujuk, jawapannya tetap tidak
Dia masih mahu terus di sini
Menanti dan terus menanti
Bila anaknya akan kembali

Kutanya pada hati...


Telah kutanya pada hati…
mengapa terlalu sukarnya menerima
mengapa terlalu payahnya memaafkan
mengapa terlalu egonya mempertahankan

Dan aku tahu jawabnya hati
dia parah terhukum selama ini
dia kehilangan rasa percaya
dia sekadar menghalangi diri
jangan sampai terluka lagi

Demi…
sebuah kasih sayang yang diperjuangkan
dia sengsara...

demi sebuah pertalian yang dipertahankan
dia merana…

dan demi kasih yang tiada penghujungnya
dia pasrah bertahan

biar… hadirnya tak langsung diendahkan
biar…
wujudnya menjadi caci dan umpat

cukuplah Dia sebagai saksinya

Hukum alam…
Tiada siapa yang jelas akan adilnya

hidup telah tertulis untuk diduga

hati
telah tercipta untuk satu ketabahan

jiwa telah dianugerah satu kewarasan


Kukira, bukan salahnya
andai dia sebegitu kaku


Thursday, December 25, 2008

Keselamatan yang semakin terancam...

Pagi-pagi lagi dah dapat berita kurang menyenangkan. Seorang staf di pejabat aku ni kehilangan motosikalnya... dalam cerah siang terang benderang tu pun, ada yang berani buat kerja macam tu. Kasihan betul si mangsa. Dua minggu lepas kereta kawan sepejabat ni juga dah kena pecah. Hilang RM20,000 sekelip mata aje. Duit bos pulak tu... Bulan lepas kawan kat pejabat lama kena ragut. Sedihnya dengar dia bercerita tentang handphone peninggalan arwah suaminya yang hilang dalam kejadian tu. Dia bukan hairan sangat duit yang hilang tapi kehilangan handphone tu yang buat dia terkilan sangat. Hilang satu kenangan dengan arwah suaminya.


Ermm...entahlah. Sekarang ni semakin bertambah kejadian-kejadian yang macam tu. Nak salahkan siapa? Tuntutan hidup semakin meruncing. Kebanyakan perniagaan di negara ni sedang dalam proses mengecilkan saiz... terpaksa memberhentikan pekerja. Bukan puluhan.. tapi ratusan entah-entah ribuan yang dibuang kerja. Mungkin ada yang terdesak sehingga sanggup buat perkara yang menganiayai orang lain demi nak meneruskan kelangsungan hidup. Nak meneruskan hidup sendiri, hidup orang lain pula yang jadi kucar-kacir. Yang hak tetap hak dan yang batil tetap batil. Ada balasan di akhirat sana. Bagi yang menjadi mangsa harap bersabar dan bersabar lagi. Pasti ada hikmah di atas setiap kejadian yang kita sendiri tak tahu. Hidup mesti terus...sehingga sampai masa kita dipanggil pulang.

Buat semua termasuk diriku sendiri... berhati-hati di mana sahaja kita berada selain bertawakal pada Yang Maha Esa.




Friday, December 19, 2008

Misi Hujung Tahun

Petang tadi bos aku buat announcement... "Ehem, ehem... sila beri perhatian (ambik ler). Korang semua dah puas cuti raya haji lepas. Lepas ni pun ada cuti lagi, santa claus nak baling hadiah pulak... tapi diingatkan... ehem, ehem... akaun dah nak closing. So, korang fikir-fikirkanlah sendiri macam mana nak siapkan semua kerja utk tahun ni. Stay back ke, stay up ke, stay the way you are ke... apa-apalah asalkan kerja tahun ni tak dibawa ke tahun depan."

Demikianlah tadi ucapan panjang lebar dari bos aku. Faham sendirilah apa yang berserabut dalam kepala aku dan kawan-kawan aku yang lain. Pening dengan kerja yang tak pernah selesai. Nak reconcile itu, reconcile ini. Nak buat payment lagi... belum campur dengan tugas-tugas tak rasmi yang lain (jawab telefon, pujuk supplier, bercakar dengan purchasing) aduhhh... bila la kerja nak siap ni.

Seronoknya kalau dapat pergi berkelah hujung-hujung minggu ni... tapi aku terpaksa duduk di bangku opis juggaaaaaa......

Kenapa?


Kenapa perlu ada rasa sedih, kenapa tak hanya gembira
Kenapa perlu ada rasa kecewa, kenapa tak hanya bahagia
Kenapa perlu ada rasa tersisih, kenapa tak hanya bersama

Kenapa perlu ada air mata, kenapa tak hanya ketawa
Kenapa perlu ada jurang, kenapa tak satukan hati kita
Kenapa perlu ada rasa yang terpendam, kenapa tak luahkan saja
Kenapa perlu membisu, kenapa tak hanya bercerita


Kenapa? Aku tak tahu….
Yang aku tahu, tiada apa pun yang sia-sia
Mungkin dengan adanya kesedihan, aku lebih tahu menghargai saat-saat gembira
Mungkin dengan adanya kecewa, aku lebih berusaha mencari bahagia
Mungkin dengan rasa tersisih, akan bertambah doaku untuk bersama
Mungkin dengan adanya air mata, aku mengharapkan saat untuk ketawa
Mungkin dengan adanya jurang, aku lebih berusaha untuk mendekati
Mungkin dengan adanya rasa yang terpendam, semakin banyak kuluahkan lewat doaku kepadaNya
Mungkin dengan hanya membisu, aku membina kata-kata untuk bercerita…