Selamat datang ke Utusan Hati

Selamat datang ke Utusan Hati ... Apa yang hati anda sedang katakan?



Saturday, April 14, 2012

Buku oh buku

Salam....amboi la..tuan blog pun ala-ala terkejut beruk mat yeh tengok blog sendiri ni. sudahlah bersawang, berhabuk, bersepah...semua ada. Hidup lagi ke tuan tanah ni?  Ya, alhamdulillah masih wujud lagi dan panjang umur hendaknyalah tuan tanah kedaung ni.
Memandangkan pesta buku dah semakin hampir dan buku baharu pun baru saja ada di pasaran kiranya saya hamba Allah yang serba kekurangan ini berkongsi sedikit tentang novel terbaharu saya itu, iaitu Seadanya Kamu.

Kisah seorang gadis yang menjadi mangsa dendam seorang teman sehinggalah dia terpaksa mengandungkan seorang anak yang tidak sah taraf. Kisah ini menceritakan pengalaman Julia sebagai insan teraniaya yang menjalani kehidupannya dengan penuh hati-hati selepas terjadinya peristiwa hitam dalam hidupnya itu sehinggakan pintu hatinya seperti sudah tertutup untuk menerima cinta dari seorang lelaki.

Novel ini juga menceritakan tentang pasangan Zulfa dan Aswad yang kisah mereka dibawa dari novel saya yang terdahulu, Kau Curi Hatiku. Mereka yang sudah mendirikan rumah tangga sekian lama namun masih tidak dikurniakan cahaya mata. Dipendekkan cerita, pasangan ini akhirnya bertemu dengan Julia kerana anak kecil bernama Damia.

Untuk promo, silalah lawati http://www.facebook.com/notes/jemari-seni/novel-umum-april-2012-seadanya-kamu-iman-xara/10150636038803193


Novel saya ini berkembar dgn novel Ruby Hazri. Dan saya sangat suka dengan karya-karya beliau... terbaharu dari beliau ialah Mr. Right Buat Ann.

Sunday, February 12, 2012

Awas waspada

Fuh! Bahayanya apabila tersalah berkata-kata...anda bakal dituduh penipu walaupun anda langsung tidak berniat untuk menipu. Malahan mungkin niat anda ketika itu hanyalah untuk memudahkan urusan, masih anda akan dipandang jahat andai anda tersalah memilih perkataan. Contoh, saya sudah bank in duit itu, sedangkan ayat yang sebenarnya ialah saya sudah beri duit itu. Perkataan bank in dan beri itu bermaksud pihak yang satu lagi itu telah menerima, tetapi berbeza pada tindakan...awas, perbezaan itu sahaja boleh menyebabkan anda dituduh penipu, seolah-olah kesalahan perkataan yang dipilih itu adalah tindakan keji seperti merompak bank!

Maka sentiasa berhati-hati dengan pemilihan perkataan dan lebih baik diam kalau tiada apa kebaikan yang hendak dibicarakan.

p/s:ada manusia yang sentiasa tenang. ada yang terlalu extreme dlm semua tindakan. yang extreme itulah memerlukan kita lebih berhati-hati dalam tindakan dan percakapan...atau lebih baik diam sahaja dengan golongan sebegini.

Thursday, February 9, 2012

penantian

Penantian itu satu penyiksaan
Benar... kerana hati ini merasa sakitnya

Penantian itu menguji kesabaran
Benar... kerana aku seperti diuji oleh masa
Ada kalanya aku jadi terluka
dicantas masa yang berdetik pergi
Ada kalanya aku merasa segala-galanya pasti
seolah-olah mentari itu akan sentiasa bersinar


Yang ada di hati ini
masih tak ku temui jawapan pasti
Yang ada di hati ini
Masih terus menari-nari... mencari rentak yang lebih serasi
Namun, aku masih menggenggam
harapan
Agar suatu hari nanti...jawapan itu aku temui

Aku menanti
Jawapan yang pasti
Dari insan yang semakin aku kasihi....

Thursday, November 10, 2011

11-11-11

Semalam 10/11/2011, dapat berita dari adik... Nur Iman Zahraa, anak saudara baharuku akan dibedah untuk membesarkan ususnya pada 11/11/2011. Tarikh yang sangat cantik, yang semua orang sudah mula menulis di facebook dan blog betapa cantiknya tarikh itu. Tapi, aku sangat faham bagaimana perasaan adik dan adik ipar aku yang akan sentiasa berdebar menanti di luar bilik pembedahan sepanjang proses pembedahan itu berlaku. Si kecil Iman Zahraa itu baru beberapa minggu lahir ke dunia ni, sudah diuji dengan sedikit masalah tentang ususnya. Ujian sebenarnya bukan untuk dia, tetapi untuk adik dan adik ipar, juga keluarga terdekat mereka.. termasuklah aku. Tapi dalam hati ni, berkata satu saja.... Yang berlaku itu ialah sesuatu yang baik dan Nur Iman Zahraa itu sihat dan pasti membesar menjadi anak yang sihat dan sentiasa berbakti kepada agama dan ibu bapanya. Amin.... :)

Monday, October 10, 2011

Biarkan pergi

Kalau hari ini,
Aku harus tunduk dan menangis
Kerana rasa sepi yang mencengkam diri
Kerana rasa kecewa yang membusung di hati
Aku juga harus tunduk dan mengerti
Mungkin dia juga pernah merasa seperti ini
Rasa sepi dan kecewa
Rasa yang pernah aku beri

Kalau hari ini
Aku harus bentangkan selautan doa
Agar tenang hati yang lara
Agar mencairlah seluruh derita....
Aku juga harus bentangkan selautan maaf
Kerana aku pernah buat dia derita
Aku pernah hadiahkan dia sebuah lara

Lalu hari ini,
Aku akur mengapa perlu begini
Mengapa aku yang merasa sepi
Mengapa aku yang ternanti-nanti
Kerana dahulu, begitulah dia bertanya
Tanya yang tak pernah aku peduli

Dan hari ini,
Doaku masih bertali
Agar khilaf itu tak akan aku ulangi
Biarlah pergi
Tinggalkan aku di sini
Untuk menanti lagi...

Thursday, September 29, 2011

Salam,

Tiba-tiba hari ini rasa macam nak menulis. Sebab? Sebabnya hati ni rasa sayu semacam je. Kenapa? Tak tahulah. Tak kan nak salahkan pada cuaca mendung dan hujan renyai-renyai ni. Memang tak patut sangat kalau salahkan apa-apa yang dijadikan Tuhan. Yang pentingnya sekarang ni, memang hati rasa sayu... Huhuhuhu...

Cerita hati ni kalau tak berkait dengan cinta, adalah sebab-sebab lain juga. Tapi, rasanya yang ini memang fasal lima huruf tu. Masalahnya, tak tahu nak cerita macam mana sebab diri sendiri pun sedang dalam situasi tidak tahu hendak dikategorikan sebagai apa. Bila perbicaraan hati tak pernah ada saksi dan tak pernah ada lafaz, memang macam inilah jadinya. Tergantung tak bertali. Sedih kan... sedih laa... waaaaaaaaaaaa.... tisu dah habis.




Thursday, August 25, 2011

Salam Aidilfiri

Saya tahu, saya memang sangat jarang nak update blog ni... apa boleh buat kalau dah M tu besar sangat, kan?

Saya tak tahulah, ada ke tidak orang yang sudi jenguk-jenguk lagi blog sepi macam rumah berhantu ni... tapi saya nak juga ucapkan

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI buat semua pengunjung blog ini (kalau ada), semua pembaca novel-novel saya, semua pembaca karya-karya penulis di Jemari Seni Sdn Bhd, semua sahabat handai, saudara mara dan sesiapa sahajalah yang menyambut Aidilfitri ini tahun.... Semoga kita bergembira dengan cara yang sepatutnya dan tidak berlebih-lebihan. Semoga Aidilfitri tahun ini lebih bermakna untuk kita semua dan semoga kita semua akan benar-benar kembali kepada fitrah Allah yang tak pernah berubah itu.