Selamat datang ke Utusan Hati

Selamat datang ke Utusan Hati ... Apa yang hati anda sedang katakan?



Thursday, August 25, 2011

Salam Aidilfiri

Saya tahu, saya memang sangat jarang nak update blog ni... apa boleh buat kalau dah M tu besar sangat, kan?

Saya tak tahulah, ada ke tidak orang yang sudi jenguk-jenguk lagi blog sepi macam rumah berhantu ni... tapi saya nak juga ucapkan

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI buat semua pengunjung blog ini (kalau ada), semua pembaca novel-novel saya, semua pembaca karya-karya penulis di Jemari Seni Sdn Bhd, semua sahabat handai, saudara mara dan sesiapa sahajalah yang menyambut Aidilfitri ini tahun.... Semoga kita bergembira dengan cara yang sepatutnya dan tidak berlebih-lebihan. Semoga Aidilfitri tahun ini lebih bermakna untuk kita semua dan semoga kita semua akan benar-benar kembali kepada fitrah Allah yang tak pernah berubah itu.

Saturday, July 2, 2011

Menerima Perbezaan

Kita memang dijadikan berbeza. Berbeza rupa, berbeza bangsa, berbeza agama, berbeza ideologi dan bermacam-macam perbezaan lagi. Sememangnya perbezaan itu sudah dijadikan oleh Allah agar kita mencari satu perkara yang menyatukan semua perbezaan itu di bawah satu bumbung. Andai kita semua sama saja, cuba bayangkan betapa mudahnya kita menjadi sejahtera. Persoalannya, kalau Allah mahukan semua manusia sama dan hidup sejahtera, cukup hanya dengan Kun Fa Ya Kun... Jadi, maka jadilah. Tetapi, mengapa pula dijadikan kita ini berbeza-beza.

Kerana sesuatu perbezaan, manusia bertikam lidah. Kerana orang lain tidak mahu sama seperti kita, kita bermusuhan dengan mereka. Kerana kita tidak mahu dianggap berfikiran atau berpegangan yang sama dengan orang lain, lalu kita memejamkan mata kepada mereka. Kita berbeza dan kita menjadikan perbezaan itu sebagai satu tiket untuk merasa lebih baik dari orang lain. Sedangkan, Allah berfirman dalam surah Al Hujuraat, ayat ke 13 yang bermaksud :

"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal-mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu disisi Allah ialah orang yang paling taqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal."

Kita sememangnya dilahirkan berbeza dan kita disarankan dengan jelas agar saling kenal-mengenal di antara kita. Daripada kenal mengenal itulah, wujudnya kefahaman tentang mengapa kita berbeza dari yang lainnya. Dan daripada kenal mengenal itulah, kita lebih menghormati mereka yang berbeza dengan kita. Tidak ada sesiapa pun yang lebih baik daripada yang lainnya melainkan orang yang paling bertaqwa di antara kita. Dan orang yang bertaqwa itu pasti tidak akan menjadikan mereka yang berbeza itu sebagai musuh sebaliknya akan mencuba untuk mengurangkan jurang perbezaan itu dengan memberi kefahaman yang baik kepada mereka yang berbeza daripadanya. 

Dan mengapa Allah tidak menjadikan usaha untuk menjadi sejahtera dan menyatukan semua perbezaan itu di bawah satu bumbung sesuatu yang mudah? Buktinya terjadi perlbagai pepecahan di dunia ini walhal mengaku bertuhankan kepada Tuhan yang satu. Kerana Dia mahu melihat siapa sebenarnya di antara kita yang lebih bertaqwa, berbuat ke arah menegakkan sesuatu yang disyariatkan tanpa menimbulkan perpecahan

"Dia telah mensyari'atkan bagi kamu tentang agama apa yang telah diwasiatkan-Nya kepada Nuh dan apa yang telah Kami wahyukan kepadamu dan apa yang telah Kami wasiatkan kepada Ibrahim, Musa dan Isa yaitu: Tegakkanlah agama dan janganlah kamu berpecah belah tentangnya. Amat berat bagi orang-orang musyrik agama yang kamu seru mereka kepadanya. Allah menarik kepada agama itu orang yang dikehendaki-Nya dan memberi petunjuk kepada (agama)-Nya orang yang kembali (kepada-Nya)." ~Asy Syuura:13~

Thursday, June 9, 2011

Andainya Kutahu

Tidak kucuba untuk menidakkan
Rasa halus yang semakin menjalar
Tidak kucuba untuk mencantas
Kudup kecil yang semakin berkembang

Sejuta langkah telah kutancapkan
Pada lembaran hidupku ini
Seribu rasa telah pun sebati di hati
Seringnya menusuk dan pilu
Mengalirkan sendu yang hanya aku yang mengerti

Aku akur,
Dalam perjalanan ini
Tak mampu kumiliki semua yang kuingini
Biar sudah di genggaman tangan
Terpaksa jua kulepaskan pergi
Kerna sedar kerdilnya diri ini
Tak mungkin kan dapat merubah takdirNya

Aku mengerti,
Tiada yang lebih mengetahui selain Dia
Sedang diriku sendiri
Sukar untuk mengerti perasaan hati
Marah, kecewa, sedih ataukah bahagia…
Hanyalah Dia yang lebih tahu
Bila mendung akan berlalu
Dan bila sinar bakal menjelma 
  

Wednesday, March 16, 2011

Kalau Tanah Melayu Lebih Lama Dijajah Jepun....

Salam,

Ini bukan doa agar negara dijajah lagi... sebab hakikatnya sehingga kini kita tak pernah merdeka pun. Kalau ada yang faham, maha fahamlah. Kalau masih tak mahu faham, tak mengapa. Itu pendapat masing-masing.

Mengikut sejarah, Tanah Melayu dijajah Jepun tidak lama mana pun jika dibandingkan dengan British. Banyak yang jelik kita dengar dari kisah-kisah penjajahan Jepun. Tidak kurang juga banyak juga yang jelik itu terjadi di zaman penjajahan British, walaupun hari ini kebanyakan rakyat negara ini terutamannya anak-anak muda yang tidak sama-sama merasa keperitan hidup dijajah, mengagung-agungkan negara barat itu. Tidak ada salahnya mengagumi kemajuan di barat asal saja kita tidak mengagumi apa-apa yang bertentangan dengan syariat Islam yang telah dilaksanakan oleh negara-negara itu.

Entri ini bukan hendak memuji mana-mana negara atau sesiapa saja pun cuma sekadar hendak berhenti dan berfikir sebentar... seandainya Jepun menjajah Tanah Melayu lebih lama dahulu, adakah sikap rakyat negara ini akan lebih berdisiplin seperti mereka. Berdasarkan sekeping gambar yang disiarkan di dalam suratkhabar baru-baru ini selepas terjadinya kejadian tsunami di negara matahari terbit itu, terasa amat kagum dengan sikap penduduk negara itu.  

Amat berbeza rasanya sikap mereka dengan sikap kita di Malaysia ini. Dalam keadaan huru-hara sebegitu, masih lagi boleh bertenang, tidak panik dan sentiasa mementingkan disiplin diri. Sebuah negara yang dahulunya pernah lumpuh selepas dihujani bom atom di Hiroshima dan Nagasaki, bangkit kembali dan menjadi salah sebuah negara maju di dunia.

Yang baik, kita ikut. Yang buruk, kita ubah.

Bagaimana kita mahu sama-sama melakukannya?

Kata Rasulullah, " Kutinggalkan kepadamu dua perkara (pusaka), tidaklah kamu akan tersesat selama-lamanya, selama mana kamu berpegang kepada kedua-duanya, iaitu Kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya."

Jepun adalah sebuah negara yang tidak bertunjangkan Al Quran dan As Sunnah dalam perlembangaannya. Kebanyakan penduduknya beragama Shinto. Kalau mereka mampu menjadi seperti itu, di mana silapnya kita dalam menjadi individu atau masyarakat juga negara yang sama maju seperti Jepun dengan menggunakan pusaka yang ditinggalkan oleh Rasulullah itu?

Fikir-fikirkan dan selamat perbuat..



Wednesday, March 2, 2011

Yang mengganggu minda di saat ini...


Ini yang sering mengikut Iman Xara ni ke mana-mana pun, nak tidur pun rasa tak lolap..

Tuesday, March 1, 2011

Belum sampai-sampai lagi kita ni, Labu?

Salam semua.

Apa yang belum sampai-sampai lagi ni? Banyak sungguh yang tak sampai lagi ni.

Alkisahnya, berpindah ke ofis baharu ni...byk benda yang belum sampai-sampai lagi ke ofis. Tuan punya badan dah sampai, kotak-kotak dengan segala macam fail, alat tulis dan entah apa-apa lagi, semuanya masih di ofis lama. Apakah? Pindah ofis depan je pun, tak adalah jauh sangat. Tapi sebab tak ada kudrat nak mengangkat kotak yang berlambak tu (orang perempuan tak boleh angkat berat, mak ayah, tok, tok chik, jiran sebelah semua pesan..jangan!), makanya sampai sekarang ni tak boleh nak buat kerja apa-apa lagi.

Dah dua hari dah naik turun tangga dan tak tahu nak buat apa kat ofis ni. Duduk depan PC dan menulislah... apa lagi. Dah orang bagi chance relaks, kan? Bukan mengular pun, kan?

Harap-harap esok dah adalah kerja yang boleh dibuat. Bosan juga kalau asyik relaks je macam ni sebab dah biasa banyak kerja, tiba-tiba boleh pula duduk goyang kaki... rasa macam penganggurlah pula.