Selamat datang ke Utusan Hati

Selamat datang ke Utusan Hati ... Apa yang hati anda sedang katakan?



Wednesday, January 28, 2009

Cerita suka-suka.... habis sudah

“Risau betullah saya ni dengan Kak Munah ni. Baik macam malaikat. Kak Munah biarkan saja si Nora tu baik dengan abang Rashid tu. Nanti laki dah kena sambar dengan janda tu, kak Munah jugak yang melopong.” Salbiah bersuara bersungguh-sungguh. Sambil bercakap, tangannya menari-nari di depan muka Maimunah. Maimunah sekadar terdiam.
“Semalam saya jumpa abang Rashid dengan Munir di pasar. Banyak betul lauk yang dia beli. Bila saya tanya dengan dia, dia cakap nak bagi pada orang baru. Jangan-jangan diberinya pada Nora tu.” Salbiah petah bercerita. Maimunah terpana seketika mendengar cerita Salbiah. Tiba-tiba mindanya memutar kisah semalam apabila suaminya menyuruh dia membahagi-bahagikan makanan mentah yang dibeli.
“Kau jangan nak buat cerita, Biah. Aku kenal benar dengan Nora tu. Dah bertahun dah kami berjiran. Orang baik ni jangan dituduh yang bukan-bukan.” Maimunah memberi amaran. Sebenarnya dia sendiri sudah tidak sedap hati mendengar cerita yang dibawa oleh Salbiah itu. Kata-katanya itu semata-mata untuk menyedapkan hatinya sendiri. Dalam diam dia berharap agar prasangka yang mula bermain di kepalanya sejak akhir-akhir ini tidak benar-benar berlaku kepada dirinya.
“Kak Munah, orang ni jangan dilihat baik diluar saja. Dalam hati tu tak ada siapa yang tahu. Kak Munah faham sendirilah keadaan dia tu, janda. Anak kecil-kecil lagi. Tak kan dia tak terfikir nak cari pengganti arwah Zainal tu. Larat ke dia nak besarkan anak-anak dia tu sendiri.” Ujar Salbiah lagi. Sesekali matanya dikerlingkan ke arah rumah Zainora yang terletak beberapa meter sahaja dari tempat mereka berada.
“Entahlah kak Munah. Kak Munah fikir sendirilah, laki kak Munah. Saya berpesan saja sebelum terjadi apa-apa. Kalau laki saya yang buat hal dengan janda tu, dah lama dah saya kerjakan.” Sambungnya lagi. Maimunah mengeluh perlahan. Sedikit sebanyak kata-kata Salbiah itu lekat juga di hatinya. Orang lelaki memang tidak boleh diharap sangat. Semakin tua, semakin menjadi. Jangan-jangan suaminya pun jenis lelaki yang seperti itu. Maimunah menelan liur.

----------------------------------------------------------------------------------
“Bersiaplah Munah. Ikut saya ke rumah Nora tu.” Suara Rashid tegas. Maimunah yang sibuk melipat kain segera merenung suaminya dengan penuh kehairanan. Suaminya sudah siap berkemeja lengan panjang. Songkok hitamnya pun sudah sedia di kepala.
“Munir!” Rashid melaung memanggil adiknya pula. Ketika Munir muncul di ruang tamu itu, Maimunah masih lagi tidak bergerak.
“Awak tunggu apa lagi, Munah? Saya kata bersiap, bersiaplah.” Suara Rashid meninggi.
“Kita nak ke rumah Nora tu buat apa, bang? Yang abang ni siap bersongkok ni, kenapa pula?” Maimunah menyoal penuh debaran.
Rashid saling berpandangan dengan adiknya, Munir.
“Abang nak merisik Nora tu. Semakin lama dia menjanda, semakin kerap dicerca orang. Saya kasihankan Nora anak beranak. Sudahlah tak ada saudara mara yang kisah dengan mereka, orang kampung ni pulak tahu nak mengata saja. Mentang-mentanglah dia tu janda, asyik dikata mengoda laki orang.” Terang Rashid panjang lebar.
“Habis…abang kasihankan dia, abang nak buat dia jadi bini nombor dua abang?” Suara Maimunah agak bergetar. Rashid memandang isterinya dengan mata membutang.
“Apa yang awak merepek ni? Nak jaga awak sorang pun, saya tak kuasa. Ini nak tambah lagi satu.” Sergah Rashid dengan suara yang sedikit keras.
“Kak, abang nak risikkan untuk saya.” Munir memecahkan kebuntuan yang bersarang dalam hati kakak iparnya itu.
“Kau nak kahwin dengan Nora tu? Dia kan janda.” Maimunah mencari kepastian. Adik iparnya itu masih muda. Umurnya baru mencecah awal tiga puluhan.
“Saya tak kisah kak. Saya ikhlas nak kahwin dengan dia. Saya nak bela nasib dia dan anak-anaknya atas nama agama. Bagi saya umur bukan penghalang. Yang penting keikhlasan dan kejujuran dalam perhubungan.” Munir menerangkan panjang lebar. Maimunah senyum syukur. Dalam masa yang sama dia mengutuk diri sendiri kerana hampir termakan dengan fitnah yang disebarkan oleh Salbiah. Benarlah kata orang, lidah itu lebih tajam dari pedang. Bila lidah berdusta dan membuat cerita, maruah dipijak ke akhir hayat.
Maimunah menguntum senyum. Dia tersipu-sipu memandang suaminya. Aduh, rajuk-rajuk sayang di usia selewat ini. Malunya pada Munir!!!

Tuesday, January 27, 2009

Cerita suka-suka... kita sambung lagi halim :D

“Baru balik, bang?” Sapa Maimunah sebaik sahaja wajah suaminya terpacul di depan mata. Rashid hanya mengangguk lemah. Hampir dua jam dia di hospital menemankan Zainora dan Farid. Mujurlah tidak ada apa-apa yang berlaku kepada anak kecil itu. Doktor mengarahkan Farid tinggal di hospital untuk rawatan susulan.
“Buat apa abang ke hospital dengan si Nora tadi tu? Sapa yang sakit?” Soal Maimunah ingin tahu.
“Si Farid kena gigit tebuan. Dia kena bermalam di wad malam ni.” Jawab Rashid perlahan.
“Malam ni saya nak hantarkan baju Farid tu. Minta tolong Ain kemaskan baju budak tu. Malam ni, suruh Ain temankan Faiz dan Faizah.” Rashid memberi arahan.
Maimunah segera menyampaikan pesan kepada anaknya yang terus bergegas menjalankan perintah ayahnya.
“Saya ikut sekali, bang.” Pinta Maimunah.
“Tak payahlah awak ikut. Saya nak hantar baju saja. Lepas tu, nak jemput Munir kat rumah Abang Ngah.” Jawab Rashid. Maimunah sekadar terdiam. Kata-kata suaminya memang tidak boleh dibantah namun entah mengapa hatinya sedikit berdebar mengenangkan Zainora. Ditambah lagi dengan kata-kata Salbiah yang masih terngiang-ngiang di telinganya.

-----------------------------------------------------------------------------------
“Banyaknya lauk abang beli hari ni. Kalau ya pun nak menjamu Munir tu, tak kan sampai banyak macam ni?” Maimunah kehairanan melihat ikan, daging dan ayam yang dibeli oleh suaminya.
“Bagi separuh pada Nora.” Ujar Rashid pendek. Maimunah merenung suaminya tanpa suara. Kenapa suaminya begitu mengambil berat soal Zainora. Sehinggakan makan seharian pun hendak disediakan. Zainora bukannya saudara, cuma jiran sebelah rumah. Jangan-jangan suaminya ada niat lain. Zainora didatangi prasangka yang pelbagai namun dia tidak berani bersuara. Dibahagi-bahagikan barang-barang yang telah dibelikan oleh suaminya itu. Tiba-tiba dirasakan perbuatannya itu seolah-olah menggambarkan kasih-sayang suaminya yang mungkin akan dikongsi dengan orang lain. Mungkin akan dibahagi-bahagikan seperti itu.

Monday, January 26, 2009

Cerita suka-suka...sambung lagi (slps balik raya cina :)

Zainora leka membersihkan daun pisang yang baru dilayur di atas api. Daun pisang itu untuk dibuat membungkus nasi lemak dan kuih kuaci. Sejak kematian suaminya, Zainora membuat kuih muih untuk dijual di kedai kopi Pak Long yang terletak di simpang jalan. Dia akan menghantar kuih-kuihnya ke kedai ketika pergi menghantar anaknya, Faiz ke sekolah. Pulang dari menghantar Faiz, dia menunggu anak-anak Fauziah dan Norehan. Kedua-dua jirannya itu meminta dia menjaga anak-anak mereka ketika mereka keluar bekerja. Itulah rutinnya seharian. Kalau difikirkan penat, memang dia penat namun demi mencari rezeki untuk membesarkan anak-anaknya, dia rela. Dia bersyukur dengan rezekinya dan anak-anak yang tidak pernah putus. Sedar tak sedar sudah hampir setahun dia membesarkan anak-anaknya sendirian.
“Mak! Cepat mak!! Farid kena gigit tebuan.” Laungan Faiz mengejutkannya. Dia mencampak apa sahaja yang berada di ribaanya lalu bergegas menurut langkah anaknya.
Ya ALLAH. Janganlah kau ambil anakku, doa Zainora di dalam hati. Dia takut akan kehilangan lagi seperti mana dia kehilangan arwah suaminya.
Dari jauh dia sudah dapat melihat beberapa orang kanak-kanak sedang berkumpul. Hati Zainora berdetik bimbang. Langkahnya dipercepatkan.
“Farid! Farid tak apa-apa nak?” Soal Zainora kebuntuan. Dicempungnya tubuh anaknya lalu dia segera berlari ke arah jalan besar. Muka dan badan anaknya yang tidak berbaju itu sudah bengkak-bengkak. Wajah Farid hampir tidak dapat dicam lagi.
“Abang Rashid! Abang Rashid! Tolong bawakkan Farid ke hospital!” Zainora melaung sebaik sahaja terpandang kereta proton saga merah milik jirannya itu. Rashid segera memberhentikan kereta dan mengambil Farid dari dukungan Zainora.
“Faiz, balik tengok adik.” Arah Zainora sebelum kereta Rashid meluncur pergi.
Zainora teresak-esak sambil meraup wajah anaknya. Anaknya tidak bersuara namun air mata si anak menitis menandakan betapa dia sedang berada dalam kesakitan.
“Macam mana boleh kena tebuan tu, Nora?” Rashid menyoal, penuh belas.
“Entahlah. Saya pun tak tahu. Tiba-tiba saja Faiz beritahu saya adiknya kena gigit tebuan. Saya agak ni tebuan tanah ni, bang.” Jawab Zainora cemas. Tebuan tanah lebih berbisa jika dibandingkan dengan tebuan rumah. Rashid segera menekan pedal minyak, mempercepatkan pergerakan keretanya.
------------------------------------------------------------------------------------
“Kak Munah ni baik-baik sikit dengan si Nora tu. Dia tu janda kak. Janganlah dibiarkan rapat sangat dengan abang Rashid tu.” Salbiah bersuara sambil mencebikkan bibirnya. Maimunah yang sedang menyidai kain di ampaian menoleh ke arah jiran yang baru bertandang itu.
“Kau ni Biah. Tak ada kerja lain agaknya nak buat. Tak habis-habis dengan cerita-cerita pasal orang kampung ni.” Maimunah membidas.
“Saya cakap yang betul kak. Saya ni tak nak tengok kak Munah ni makan hati nanti. Sebelum terjadi apa-apa, kan lebih baik kita elak.” Salbiah terus mempertahankan diri. Maimunah hanya terdiam. Dia menggeleng-gelengkan kepalanya sambil meneruskan kerjanya menyidai kain.
“Si Nora tu kak…sebatang kara. Mak ayah dia dah buang dia bila dia kahwin dengan arwah abang Zainal tu. Sebelah abang Zainal pun tak ada siapa lagi yang boleh tengok-tengokkan mereka anak beranak. Mahu tak mahu, dia mesti kahwin lain, kak. Ha…saya tengok abang Rashid tu baik betul dengan Nora anak beranak. Kak Munah tak takut ke kena bermadu dengan jiran sendiri.” Ujar Salbiah separuh berbisik.
“ALLAH, dah tua macam abang Rashid tu tak ada sapa yang hendak, Salbiah. Dulu masa muda-muda dulu bolehlah jugak kau nak takut-takutkan aku macam tu.” Jelas Maimunah sambil meninggalkan Salbiah sendirian. Salbiah yang sakit hati diperlakukan sebegitu terus berlalu dengan hati yang marah.
“Dah kena madu nanti, tahulah kau.” Omelnya.

“Ayah kau mana, Ain?” Maimunah menyoal anak bongsunya, Nurul Ain sebaik sahaja dia melangkah masuk ke dalam rumahnya.
“Mak Som kata ayah dengan mak cik Nora ke hospital. Mak Som nampak ayah masa dia lalu kat padang tadi, mak.” Jawab Nurul Ain, sopan.
“Ke hospital…buat apa dia ke hospital?” Soal Maimunah pada dirinya sendiri.
“Ada mak Som kau beritahu kenapa ayah kau pergi hospital tu?” Soal Maimunah. Dia mula tidak sedap hati dengan berita yang disampaikan kepadanya itu.
"Entahlah mak. Mak Som kata macam ada kecemasan saja.” Jawab Nurul Ain.

Thursday, January 22, 2009

cerita suka-suka....sambungan 1

“Nora, Lebai Sudin suruh sampaikan pesan. Semua persiapan dah siap. Eloklah dicepatkan pengkebumian Zainal ni. Ada siapa lagi saudara mara yang belum sampai, Nora?” Soalan Maimunah mengejutkan Zainora dari lamunannya. Entah berapa lama dia berkhayal mengenangkan arwah suaminya itu. Sambil mengelap air mata yang masih bersisa di pipi, dia menggeleng lemah.
Zainal sebatang kara di dunia ini. Ayah tiada, ibu pun tiada. Adik-beradik entah ke mana menghilang. Masing-masing sudah bawa haluan sendiri. Dia sendiri tidak tahu di mana ipar duainya berada. Kalau hendak ditunggu saudara mara sebelahnya pula, bagaikan menunggu kucing bertanduk. Mama dan papa langsung tidak mengambil tahu akan dirinya. Walaupun perihal kematian Zainal telah diberitahu kepada papa dan mamanya, namun itu hanya sekadar pemberitahuan. Tidak ada sedikit pun harapannya untuk melihat papa dan mamanya datang menziarahi jenazah suaminya yang telah pergi buat selama-lamanya itu.
Zainora mengesat lagi air matanya. Anaknya Faizah memandang sayu kepadanya. Zainora merangkul anak kecil itu ke dalam dakapannya.
“Mak, kenapa tutup ayah dengan kain?” Soal Faizah dengan suara yang perlahan. Zainora menguatkan dakapannya. Hatinya merintih hiba mendengar soalan yang diajukan oleh Faizah itu.
“Nanti ayah lemaslah, mak. Kesian ayah.” Faizah terus bersuara. Air mata Zainora semakin laju mengalir. Esakannya pun semakin kedengaran. Maimunah yang duduk di sebelahnya menepuk lembut bahunya.
“Faizah, mari sini dekat mak cik.” Tubuh kecil Faizah ditarik lembut dari Zainora. Zainora membiarkan sahaja. Sebelah tangannya menekup bibirnya agar suara tangisannya tidak kedengaran. Dia tidak mahu menangis. Dia tidak mahu nampak lemah di hadapan anak-anaknya namun dia benar-benar tidak kuat menerima ujian ini bersendirian.
“Faizah dah makan belum?” Soal Maimunah kepada anak kecil itu. Faizah menggeleng.
“Adik nak makan dengan ayah tapi ayah tak bangun lagi.” Luah Faizah dengan wajah muram. Zainora memandang sekilas ke arah anaknya itu. Semakin sedih hatinya mendengar jawapan anaknya yang tidak tahu apa-apa itu.
“Jom mak cik suapkan Faizah makan. Kak Ain masak sedap hari ni.” Maimunah segera bangun dari tempat dia duduk sambil mendukung Faizah. Selepas memberi syarat kepada Zainora, dia membawa Faizah pulang ke rumahnya yang terletak bersebelahan dengan rumah Zainora itu.
Sepanjang berada di rumahnya, Maimunah melayan Faizah bercerita. Sedih hatinya mendengarkan kata-kata Faizah tentang ayahnya. Anak itu belum mengerti apa yang terjadi. Pada Faizah, ayahnya terlalu mengantuk dan tidak mahu bangun dari tidur.
“Nanti ayah bangun, adik nak ajak ayah pergi pasar malam.” Faizah bersuara riang. Hati Maimunah dicengkam pilu. Mujurlah dia membawa Faizah pulang ke rumahnya. Jika dibiarkan Faizah bersama-sama Zainora, pasti semakin pilu hati Zainora mendengarkan kata-kata anak yang belum mengerti apa-apa itu.

-----------------------------------------------------------------------

Orang kampung sudah beransur pulang. Yang tinggal cuma mereka empat beranak dan keluarga Maimunah. Suasana sedih masih terus menyelebungi mereka semua.
“Nora, abang harap Nora bersabarlah banyak-banyak. Kematian tu satu janji dan janji tuhan itu pasti. Satu hari nanti, kita pun akan menyusul juga. Kita semua sayangkan Zainal tapi ALLAH lebih sayangkan dia. Banyak-banyakkan bersabar dan berdoa untuk arwah.” Rashid menasihati Zainora. Wanita itu hanya mampu mengangguk perlahan. Wajahnya benar-benar tidak ceria seperti selalu. Dirinya kelihatan benar-benar tidak terurus.
“Janganlah diikutkan sangat hati tu, Nora. Kalau ada apa-apa yang Nora perlukan beritahu aje dengan kak Munah.” Ujar Maimunah pula. Dia menepuk lembut bahu Zainora di sebelahnya.
“Nora, Kak Munah nak minta diri dulu. Dah jauh malam ni. Budak-budak tu pun dah letih. Eloklah ditidurkan dulu. Malam ni biar Ain tidur sini, temankan Nora.” Ujar Maimunah lagi.
“Tak apalah kak Munah. Insya ALLAH saya tak apa-apa. Kasihan si Ain tu, esok dia sekolah. Tak payahlah dia temankan saya, kak.” Zainora menolak dengan lembut. Dia tidak mahu menyusahkan keluarga Maimunah.
“Sekolahnya dekat saja, Nora. Esok pagi-pagi dia baliklah ke rumah tu. Bersiap-siap dan pergi sekolah.” Desak Maimunah. Kasihan dia mengenangkan nasib Zainora. Dia sekadar ingin membantu apa yang termampu olehnya. Setelah puas dipujuk, akhirnya Zainora bersetuju. Ada juga temannya berbicara malam ini.
Maimunah meninggalkan anak gadisnya yang baru berusia 15 tahun itu bersama-sama keluarga Zainora. Sebelum meninggalkan rumah Zainora, dia sempat berpesan kepada anaknya, Ain agar membantu Zainora apa yang patut. Anaknya itu patuh menerima arahan. Dia suka sekali kerana dapat bermalam bersama anak-anak Zainora. Sejak dahulu, dia memang rapat dengan keluarga Zainora itu. Anak-anak Zainora sudah dianggapnya seperti adik-adik kandungnya sendiri. Kini, kesedihan keluarga itu turut terasa di hatinya. Dia sanggup lakukan apa sahaja ketika itu asal sahaja beban perasaan yang ditanggung oleh Zainora dan anak-anaknya dapat dikurangkan.

Wednesday, January 21, 2009

Cerita suka-suka....

Suasana sedih menyelubungi seisi rumah. Suara lelaki dan perempuan yang membaca ayat-ayat suci al-quran kedengaran di sana sini. Sekali sekala kedengaran suara esakan dari bibir wanita berusia dalam lingkungan akhir tiga puluhan itu. Tiga orang kanak-kanak di sisinya turut berwajah muram. Sesekali anak yang paling tua, Faiz mengelap air mata yang bergenang di juring matanya. Adik-adiknya sekadar memandang dengan penuh tanda tanya. Mungkin mereka masih belum mengerti apa yang sedang berlaku.
Zainora mengusap kepala anak-anaknya. Entah bagaimana nasib anak-anaknya nanti. Pemergian suaminya menemui yang Maha Esa menjadikan mereka sekeluarga hilang tempat bergantung. Namun semuanya sudah takdir Ilahi.
Zainora menatap sekujur tubuh yang kaku terbaring di hadapannya. Tiba-tiba dia teringat pesanan arwah suaminya ketika mereka sama-sama bersarapan.
“Kalau abang dah tak ada nanti, entah macam manalah nasib Nora dengan anak-anak.” Suara keluhan suaminya, Zainal masih segar di fikirannya.
“Kenapa merepek pagi-pagi ni, bang. Tak baik.” Balasnya.
“Abang tak merepek. Abang cuma terfikir macam mana nasib anak-anak kita. Nasib Nora juga, macam mana nanti?” Soal Zainal, sayu. Zainora mengetap bibir. Dia jadi takut mendengar bicara suaminya. Ketika itu dia langsung tidak terfikir yang kata-kata itu sebenarnya adalah amanat untuk dipegangnya.
“Nora percaya abang ni panjang umur. Tiap-tiap hari Nora doakan abang biar hidup seratus tahun lagi.” Zainora bersuara lembut, cuba meredakan hati suami yang berperasaan gelisah itu. Suaminya hanya tersenyum kelat.
“Alangkah bagusnya kalau Nora ada orang lain selain abang.” Luah Zainal.
Berkerut dahinya mendengar bicara si suami.
“Maksud abang, kalaulah mama dan papa boleh terima Nora kembali sebagai anak, alangkah bagusnya. Mak dan ayah abang, dua-dua dah tak ada. Nanti kalau abang dah tak ada, siapa yang nak jaga Nora dan anak-anak.” Perlahan suara Zainal menuturkan kata. Zainora menatap wajah suaminya lama. Dia sedar lelaki itu terkilan kerana papa dan mamanya tidak dapat menerima suaminya sebagai menantu. Dia lebih terkilan apabila mereka juga tidak mahu menerima dia sebagai anak mereka lagi.
“Jangan kenangkan lagi, bang. Nora bahagia di sisi abang.” Zainora bersuara lembut sambil menggenggam tangan suaminya namun suaminya hanya tersenyum hambar.
Selepas bersarapan pagi itu, Zainal masuk ke bilik anak-anaknya lalu mencium dahi anak-anaknya, seorang demi seorang. Zainora yang memerhatikan perbuatan suaminya dari pintu kamar itu sedikit terkejut apabila melihat suaminya mengelap matanya yang basah. Dia hairan melihat kelakuan si suami namun segera dia mencari alasan bagi mententeramkan hatinya sendiri. Mungkin suaminya masih lagi terkilan kerana anak-anaknya tidak diterima oleh datuk dan nenek mereka.
Selepas suaminya keluar ke pejabat, Zainora mula mengemas rumah. Kain baju yang berlonggok di dalam raga dicapainya lalu dimasukkan satu persatu ke dalam mesin basuh. Sambil itu fikirannya ligat berputar mengenangkan perangai aneh suaminya. Sebentar tadi, selepas bersalam dan mengucup tangan suaminya, lelaki itu merangkulnya dan memeluknya erat. Selama ini suaminya sekadar memberikan ciuman di dahinya.
Ketukan yang bertalu-talu di pintu rumah mengejutkannya. Mungkin suaminya tertinggal sesuatu dan berpatah balik untuk mengambil barang yang tertinggal itu. Namun jangkaannya meleset sama sekali. Wajah Amran dan Halim, dua orang pemuda kampung itu terpancul di depan pintu.
“Kak, harap bersabar. Abang Zainal accident kat depan kedai sana. Dia dah dibawa ke hospital sekarang ni.” Suara Amran yang menyampaikan berita itu kedengaran gugup sekali. Zainora terasa ingin rebah. Mujurlah dia sempat berpaut pada tepi pintu.
Tanpa mengejutkan anak-anaknya, Zainora bergegas turun dari rumah. Kakinya pantas melangkah ke arah rumah jirannya.
“Kak, tolong tengokkan anak saya. Saya nak ke hospital. Abang Zainal accident.” Zainora bersuara sebak. Maimunah yang terkejut dengan berita itu terus mengarahkan anak perempuannya, Ain pergi ke rumah Zainora. Sementara itu mulutnya becok memanggil suaminya.
“Bang, kita ke hospital sekarang bang. Zainal accident.”
Mendengar ajakan isterinya, Rashid segera turun ke bawah rumah lalu menghidupkan enjin kereta. Zainora yang sudah menangis teresak-esak itu diarahkan masuk ke dalam kereta.
“Sabar Nora. Doakan dia tak apa-apa.” Berkali-kali Rashid berkata begitu. Isterinya turut mententeramkan Zainora yang semakin galak menangis.
Beberapa minit kemudian kereta Rashid dipandu masuk ke kawasan hospital. Dari jauh, Zainora terpandang wajah Halim yang lebih dahulu sampai ke hospital.
“Abang Zainal mana?” Soal Zainora.
“Kat dalam, kak. Ikut saya.” Arah Halim.
“Maaf puan. Kami dah cuba sedaya upaya kami tapi tuhan lebih sayangkan dia.” Kata-kata yang keluar dari bibir doktor itu menghancur-luluhkan perasaannya. Andai Maimunah tidak pantas memegang tubuhnya, dia sudah terjelepuk di lantai.


----to be continue----

Tuesday, January 20, 2009

Dia Selalu Ada


Memiliki sebuah impian,lalu
berusaha untuk mencapainya
bukan jalan mudah yang kita tempuh
bukan rentak sama yang kita tarikan
berbagai persoalan timbul dan tenggelam
berbagai rintangan menghiris dan menikam

Andai impian tidak direalisikan
mampukah sekadar menerima apa adanya?
menyerah segala-gala pada takdirNya?
bukankah Dia mahu kita berusaha?
mencari yang terbaik
untuk hidup di dunia, juga
sebagai bekalan kita di sana...

Terbentang dua jalan di hadapanku
Untuk kupilih yang mana satu...
buntu aku untuk membuat pilihan
Apa yang diinginkan hati
atau apa yang sekadar mampu untukku miliki

Tamakkah aku andai aku inginkan lebih lagi
Halobakah aku andai aku sentiasa tidak berpuas hati
Lalu mahu terus maju dan tidak mahu memikirkan untuk berhenti
Atau berpaling lalu pergi

Mengimpikan satu realiti
yang dipenuhi warna bunga penuh berseri
biar pun kutahu sukarnya untuk kugenggami
Namun aku tidak mahu sekadar menerima
tanpa mahu berusaha...
kerna kuyakin...kutelah berpegang pada buhulNya dan
Dia selalu ada.

Thursday, January 15, 2009

Jangan Berhenti-Ruffedge

Sememangnya kita sering dilanda dengan pertanyaan
Bagaimana untuk maju ke hadapan
Jika kita asyik duduk dalam kegelapan

Sememangnya akan ada yang iri hati dengan kita
Cuba menjatuhkan oh dengan harapan
Agar kita tidak kan bertemu kejayaan

Pernah dulu ku rasakan hampir hilang semua
Bersaing dengan gelap kegagalan
Kecewa dan sedih jadi teman
Ku pasti inilah lumrah di dalam kehidupan
Menangis sebelum kita ke depan
Tapi kini...

Ku rasakan bagaikan sinar yang terang
Dari langit yang dipancarkan ke bumi
Jauh daripada rasa sepi
Perasaan, inginku berpijak lebih tinggi
Dan meneruskan perjuangan ini
Janganlah kita berhenti di sini

Sebenarnya diri kita mempunyai cita-cita,
Jika putus asa maka takkan rasa
Bagaimana terangnya hidup bila berjaya

Kalau kita asyik terus mendengar kata yang tak tulus
Harus kita ambil semua serius
Jika tidak masa depan kita kan terhapus

Masih ada ruang kita bergerak bebas
Mencari-cari apa yang telah hilang
Oh kita ada bersama hingga kini
Tetap sabar, terima kasih semua....

Wednesday, January 14, 2009

Dania Humairah...



Rindu kat diaa....

Siapa yang lebih kau cintai?


Jangan selalu-selalu
melebihkan yang lain selain Dia
selalulah takut pada murkaNya
dengan murkaNya, insan kecewa

Jangan jadikan itu dan ini sebagai penghalang
bila kita diseru kepadaNya
takut nanti Dia menghilangkan penghalang itu
agar kita tiada alasan lagi utk menjauh dariNya...

Fikirkanlah,
siapa atau apa yang kita letakkan sebelum Dia
bapa yang dihormati...
anak-anak yang disayangi...
mungkin juga saudara-saudara yang disenangi...
atau isteri-isteri yang dicintai...
mungkin juga keluarga yang kita kasihi...
atau barangkali harta kekayaan yang kita cari...
atau perniagaan yang kita takut akan rugi..
juga mungkin tempat tinggal yang kita sukai?

Andai ini yang kita lebihkan
melebihi dari Dia yang memberi nyawa
Takutlah kita pada murkaNya
Kerana Dia telah berkata,

Katakanlah: "jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya." Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

Buatlah pilihan yang tepat...
Dalam memilih yang lebih utama...
kerana Dia satu-satunya yang istimewa.

Sunday, January 11, 2009

Hujung minggu yang penat...

Alhamdulillah, semalam aku dah ke Jemari Seni. Dah setel tenyeh tanda tangan... naik sengal gak jari jemariku. Mujur ada Izzah dan Kak Naz yang membantu... bantu buka plastik novel... terima kasih.. terima kasih.

Semalam siap makan tengahari dengan Kak Su dan Kak Yah. Aduh.. susah-susah aje. Terima kasih... terima kasih... Sedap makan tengahari kami... terbang segala diet... Terima kasih lagi sekali, Kak Yah dan Kak Su.

Sblm balik tu, siap memilih-milih buku lagi... sukanya..penuh dah rak buku kat rumah aku ni. Tak tahu nak baca yang mana satu...aku start dengan labyrinth sbb aku memang suka cerita misteri macam ni. Baru muka surat depan aje dah rasa best sangat... lepas ni nak sambung membaca lagi...

Hari ini, seharian aku, Izzah dan Kak Naz bertungkus lumus dengan projek rahsia kami. Berpeluh dan berselutlah kaki dan tangan... harap-harap semuanya akan berjalan lancar sehingga ianya mendatangkan hasil...baru kerja berat sikit dah rasa sakit satu badan. Patutlah ayah aku dulu beria suruh anak-anak dia belajar rajin-rajin. Rupanya dia memang risau kalau anak-anak dia ikut jejak langkah dia sbb susah rupanya berbakti dengan alam ni kalau tidak kena dengan orang dan semangatnya. Namun, harap-harap semangat ayah aku tu adalah dalam diri aku ni...amin.

Okey, itu saja utk hari ni. Kalau ada masa, den updatelah lagi blog ni. Nak rehat kejap... penatttt...zzzzzzzzzz...

Thursday, January 8, 2009

Berita gembira di pagi hari...

Pagi-pagi tadi Kak Yah dah buzz aku... pastu dia cakap... petang ni company printing tu akan datang antar buku kat JS.. Adeih.. tergugur jap jantungku ketika itu. Lepas tu dah tak boleh buat kerja dah... rasa cam melayang-layang jer... mcm bercinta plak... tersenyum-senyum. Aku cakap ngan kak yah... i can't stop myself from smillingggg.... gawat nih.

Orang lain pun pelik tgk aku... sengih jer sampai telinga. Purchasing nyer staf datang minta payment pun aku senyum jer... sib baik aku tak keluarkan pantun ke hape ke sempena menyambut kedatangan dorang yg selama ni aku aaaaamat menyampah.

Tengahari ada plak suprise party utk MD. First time aku alami peristiwa sambut birthday bos ni secara besar-besaran... meletup-letup belon kat ofis tu. Bos pun cam blur sekejap... dtg2 jer semua floor gelap. "Black out ke?" dia tanya. Tekan jer lift, tergolek-golek belon keluar dari lif sekali ngan secretary dia yg kiut miut tu...tp secretary tu tak tergolek ler cuma berpeluh jer sbb berminit2 tunggu dlm lift. Ha, amik, nak suprise sangat, kenalah berkorban.

Petang ni, sambil2 wat kerja ofis, aku wat kerja sendiri... hehehe...amik order utk Tanya Pada Hati. Kawan-kawan la yg mengordernya... siap minta TT. Kak Yah cakap yg ada kat JS tu pun dah 50 novel yg aku kena TT. Mampusss... mlm ni dan esok kena senaman jari banyak-banyak...

Kesimpulannya hari ni... AKU GEMBIRA. Alhamdulillah...

Sunday, January 4, 2009

Siti Nurhaliza - Panas Berteduh Gelap Bersuluh

Berdayung sampan biar sampai ke muara
Mengatur langkah jangan sampai kaki terluka
Menabur budi biar ikhlas di jiwa
Mengukir janji janganlah di bibir saja

Ingat adam resam tuturkata tingkah dijaga
Warisan ibunda kekal lama segar berbunga
Menjadi bekal anak muda di rantauan
Menjadi tangkal ukur nilai peradaban

Tanya pada diri mana... letak budi
Tanya pada akal... apa yang dibekal
Tanya pada hati... sudahkah terisi
Ingat pada janji... jangan dimungkiri


Dihujani emas bertahun di negeri orang
Tidakkan seperti hujan batu di halaman
Sopan bersantun indah pekerti jua di julang
Adat yang disanjung kekalnya zaman berzaman
Bumi yang dipijak
Bak hamparan luas terbentang
Langit dijunjungi
Meneduhi alam tak bertepi
Jatuh dipauti tika jalan dipimpini
Melukis pekerti menghias susila diri
Panas berteduh gelapnya kan bersuluh
Kasih sayang... dari insan... pada insan
Berputik... bahasa

Mulia pada semua
Terpaut... terpatri...
Tersemat di sanubari
Itulah hiasan diri...

Friday, January 2, 2009

Kaf Ba Ra Kaf Alif Ta Nun...

Salam Tahun Baru...

"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan)
negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan)
duniawi dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat
baik, kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerusakan di (muka) bumi.
Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerusakan.

Karun berkata: "Sesungguhnya aku hanya diberi harta itu, karena ilmu yang ada
padaku." Dan apakah ia tidak mengetahui, bahwasanya Allah sungguh telah
membinasakan umat-umat sebelumnya yang lebih kuat daripadanya, dan lebih banyak
mengumpulkan harta? Dan tidaklah perlu ditanya kepada orang-orang yang berdosa
itu, tentang dosa-dosa mereka.

Maka keluarlah Karun kepada kaumnya dalam kemegahannya.
Berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: "Moga-moga kiranya kita
mempunyai seperti apa yang telah diberikan kepada Karun; sesungguhnya ia
benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar."

Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: "Kecelakaan yang besarlah bagimu,
pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal saleh,
dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang- orang yang sabar."

Maka Kami benamkanlah Karun beserta rumahnya ke dalam bumi. Maka tidak ada
baginya suatu golonganpun yang menolongnya terhadap azab Allah. Dan tiadalah ia
termasuk orang-orang (yang dapat) membela (dirinya).

Dan jadilah orang-orang yang kemarin mencita-citakan kedudukan Karun itu,
berkata: "Aduhai, benarlah Allah melapangkan rezki bagi siapa yang Dia kehendaki
dari hamba-hambanya dan menyempitkannya; kalau Allah tidak melimpahkan
karunia-Nya atas kita benar-benar Dia telah membenamkan kita (pula). Aduhai
benarlah, tidak beruntung orang- orang yang mengingkari (nikmat Allah)."

~ Al Qashash : 77-82~

Images_5
Pernah dengar tentang sahabat yang bekerja biasa-biasa, berjawatan biasa-biasa, bergaji ala-ala kadar tapi mampu hidup dengan tenang?

Pernah dengar tentang sahabat yang kerjayanya gah, jawatannya gah, bergaji gah dan lagi dan lagi namun hidup berkeluh kesah?

Adakah sudah diatur, bila kita memiliki sesuatu kemudahan, kita perlu menerima satu kesempitan? Atau itu semata-mata dari sikap kita sendiri?

Lihatlah bagaimana kita mengatur hidup? Sesudah diberikan nikmat, bagaimana kita bersyukur dengan nikmat yang diberi? Adakah kita menguatamakan kehendak yang lebih wajar didahulukan atau kita meletakkan kehendak diri sendiri terawal dalam perancangan hidup kita? Dalam hidup ini, kita sudah terbiasa untuk selalu berdoa memohon kelapangan dalam hidup. Lapang dalam anugerah rezeki, lapang dalam masa berkualiti…juga lapang dalam soal keringanan hati. Namun, kenapa kita sering sahaja tidak merasa lapang? Adakah doa-doa itu satu pun tidak dikabulkan atau… kerana sikap kitalah, kita merasakan segala-galanya sempit?

Adakah ALLAH tidak pernah memberi? Adakah Dia tidak pernah mengerti? Atau adakah kita yang terlalu berkira dengan nikmat yang telah dipinjamkanNya itu sehingga kita merasakan segala-galanya itu adalah atas usaha kita semata-mata lalu kita menjadi begitu kikir untuk mengembalikan nikmat itu kepadaNya. Lalu kita melupakan siapakah yang memberikan rezeki itu.. Jangan sampai kita memiliki sifat Karun di dalam diri ini. Nauzubillah…